Jenazah bayi beku: Polis akan rekod keterangan pihak hospital
SHAH ALAM - Polis akan memanggil pihak hospital untuk direkod keterangan dalam masa terdekat berhubung jenazah bayi lelaki yang didakwa ditahan selama dua minggu oleh hospital terbabit.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima satu laporan yang dibuat pada jam 3 pagi, Jumaat di Balai Polis Damansara.
"Laporan itu diklasifikasikan di bawah kertas inkuiri polis (KEP) dan kita akan siasat untuk menentukan sebarang unsur jenayah dalam isu ini.
"Mereka yang berkaitan termasuk pihak hospital akan dipanggil dalam masa terdekat untuk dirakam percakapan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Sebelum itu, peguam, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar yang mewakili bapa bayi itu, Safwan Roshdy, 22, memaklumkan akan mengambil tindakan saman terhadap netizen yang memfitnah keluarga jenazah bayi lelaki yang disimpan dalam peti sejuk di sebuah hospital swasta di Selangor.
Ahmad Zaharil memaklumkan, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa pemilik akaun media sosial yang melemparkan fitnah terhadap anak guamnya termasuk dakwaan tidak berkahwin.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan, jenazah seorang bayi lelaki dibekukan dalam peti sejuk mayat selama kira-kira dua minggu di sebuah hospital swasta di Klang dipercayai selepas bapanya tidak mempunyai wang untuk membayar bil.
Kisah menyayat hati itu tular di media sosial sejak Selasa selepas Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Cai Official memuat naik hantaran di Facebook berkongsi mengenai perkara itu.
Wan Chai memaklumkan, pihaknya menghadapi kesukaran sewaktu menguruskan jenazah bayi berkenaan kerana dalam keadaan beku sepenuhnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!