MMC: CSO desak kerajaan tidak campur tangan, bebas daripada kelulusan menteri

CSO mahu peranan MMC diperkukuh dan undang-undang keras sedia ada tidak mengganggu badan itu daripada melindungi kebebasan media. Gambar hiasan
CSO mahu peranan MMC diperkukuh dan undang-undang keras sedia ada tidak mengganggu badan itu daripada melindungi kebebasan media. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Organisasi masyarakat sivil (CSO) mengulangi pendirian supaya kerajaan tidak campur tangan dalam Majlis Media Malaysia (MMC) bagi memastikan badan itu kekal sebagai entiti kawal selia yang bebas.

Perkara itu ditegaskan oleh 10 wakil CSO bagi memastikan dana badan itu kekal bebas daripada keperluan mendapatkan kelulusan menteri dan digantikan dengan pemakluman terutama melalui laporan yang diaudit setiap tahun.

Menurut gabungan itu, reformasi menyeluruh perlu dilaksanakan termasuk memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA) serta Seksyen 233 dan pindaan lain kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA).

"Semakan segera untuk memansuh atau meminda Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Hasutan 1948, Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 yang menghalang pemberi maklumat berkongsi bukti dengan media tanpa kehilangan perlindungan mereka juga perlu dilaksanakan.

"Peranan MMC akan diperkukuh dengan melaksanakan reformasi berkenaan dan undang-undang keras sedia ada tidak mengganggu badan ini dari melindungi kebebasan media," menurut kenyataan tersebut pada Jumaat.

Kenyataan bersama itu melibatkan Centre for Independent Journalism (CIJ), Gerakan Media Merdeka (Geramm), Sinar Project, Sisters In Islam (SIS), Justice For Sisters (JFS), Suara Rakyat Malaysia (Suaram), ARTICLE 19, Freedom Film Network, Amnesty International Malaysia dan KRYSS Network.

Sebelum ini media melaporkan, Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia 2024 bagi mengadakan peruntukan untuk penubuhan perbadanan bebas dikenali Majlis Media Malaysia dibentangkan untuk bacaan kali pertama.

RUU itu dibentangkan oleh Timbalan Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching di Dewan Rakyat pada Khamis dengan bacaan kali kedua dan ketiga dijangka dibentangkan pada persidangan akan datang.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan naskhah biru, RUU dengan enam bahagian itu turut mengadakan peruntukan mengenai keanggotaan Lembaga Majlis yang akan menjalankan fungsi dan menguruskan hal ehwal majlis berkenaan.

Dalam pada itu gabungan tersebut turut memuji komitmen kerajaan dalam mewujudkan institusi progresif tersebut yang dijangka mempertahankan kebebasan media dan bersuara di negara ini.

"RUU ini akhirnya membolehkan orang ramai mendapat maklumat lebih baik melalui laporan beretika dan mereka boleh membuat keputusan lebih baik untuk mendorong demokrasi inklusif dan penyertaan aktif.

"Oleh itu RUU MMC perlu dipinda sebelum bacaan kedua di Parlimen bagi memastikan ia selaras dengan objektif dan tujuannya iaitu komitmen untuk mengekalkan standard etika tertinggi dalam laporan dan kebebasan media di Malaysia," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!