Mara tumpu baiki tandas, asrama

Tangkap layar Facebook Asyraf Wajdi pada Jumaat
Tangkap layar Facebook Asyraf Wajdi pada Jumaat
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Amanah Raya (Mara) akan memberi tumpuan kepada perbelanjaan menambah baik prasarana serta penyelenggaraan fasiliti di semua institut pendidikan di bawah agensi itu tahun depan.

Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu susulan hasil terjahan pihaknya ke institusi pendidikan melibatkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Institut Kemahiran Mara (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Institut German-Malaysia (GMI), Institut Pendidikan Mara (IPMa) dan Kolej Profesional Mara (KPM) di seluruh negara.

"Perkara ini antara lain yang saya kongsikan ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Mara untuk meluluskan bajet bagi segala operasi dan gerak kerja dalam sektor pendidikan, keusahawanan dan pelaburan.

"Insya-ALLAH Mara akan pastikan setiap sen wang rakyat yang diamanahkan akan dibelanjakan secara berkesan, efisyen, tidak membazir, tidak tiris dan mengikut tatakelola yang ketat serta memenuhi mandat diamanahkan," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini media melaporkan, sesi tinjauan secara mengejut yang dilakukan Asyraf Wajdi di beberapa MRSM merupakan antara usahanya untuk memastikan peruntukan duit rakyat dimanfaatkan secara berkesan.

Beliau turut berkongsi pengalamannya menerusi media sosial dan terbaharu di MRSM Langkawi bagi memeriksa tandas dan beberapa fasiliti sekolah itu.

Ketika pemeriksaan, beliau dikejutkan apabila satu pintu tandas tumbang sebaik disentuh, beberapa tandas lain tiada pintu, selain lampu dan sinki tidak berfungsi.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan, perbelanjaan menerusi Bajet Mara 2025 itu juga nanti akan ditumpukan kepada perkara-perkara asas seperti membaik pulih tandas, asrama dan lain-lain.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!