BNM perlu main peranan, elak kualiti kesejahteraan hidup B40 terjejas
KENAIKAN premium insurans pada tahun 2025 sememangnya menjadi isu yang meresahkan rakyat, terutama dalam suasana ekonomi yang mencabar.
Malah perkara ini turut menjadi perdebatan di Dewan Rakyat apabila dibangkitkan oleh ahli-ahli Parlimen, sama ada pihak pembangkang mahupun kerajaan.
Ramai yang mempertikai kenaikan premium insurans perubatan sebanyak 40 hingga 70 peratus tahun hadapan, sedangkan kos perubatan kasar hanya meningkat 15 peratus.
Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula dalam satu kenyataan bersama berpandangan, Bank Negara Malaysia (BNM) perlu mengehadkan kenaikan kadar tersebut tidak melebihi 10 peratus.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin; Jimmy Pua (Tebrau), R Yuneswaran (Segamat), Chew Choon Mun (Miri) dan Senator Amir Ghazali menegaskan, kenaikan yang munasabah adalah bagi memastikan perkhidmatan itu mampu dibeli golongan M40.
Terbaharu Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, BNM akan mengumumkan penyelesaian terhadap isu kenaikan kadar berkenaan tidak lama lagi.
Isu ini semestinya mendatangkan resah kepada rakyat kerana secara tidak langsung akan menambah beban kewangan.
Sudah tentu ada yang sudah berkira-kira untuk mengurangkan tahap perlindungan kerana tidak mampu membayar premium yang lebih tinggi.
Justeru diharapkan BNM akan mengeluarkan satu resolusi yang boleh mendatangkan kelegaan kepada rakyat.
Ia perlu bagi mengelakkan kualiti kesejahteraan hidup golongan B40 dan M40 terjejas kerana bukan sahaja perlu berhadapan kos sara hidup semakin meningkat, tetapi caj insurans yang dijangka naik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!