Peranan media penting bantu mufti - Mohd Sukki

Laporan Sinar Harian berhubung isu mayat bayi beku. (Gambar kecil: Mohd Sukki)
Laporan Sinar Harian berhubung isu mayat bayi beku. (Gambar kecil: Mohd Sukki)
A
A
A

BUTTERWORTH - Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki berpendapat peranan media penting dalam membantu mufti setiap negeri mengeluarkan pandangan dengan segera berhubung sesuatu kes yang menimbulkan persoalan dalam kalangan umat Islam.

Beliau berkata, walaupun kes itu berlaku dalam negeri, namun kemungkinan mufti terlepas pandang isu berkenaan.

Katanya, kelazimannya mufti setiap negeri ini akan dihubungi oleh wartawan untuk mendapatkan pandangan.

“Kalau tidak mufti nak bagi pandangan melalui saluran mana. Kalau bagi pandangan pun jika tidak keluar di media tetap nampak macam mufti tak bagi pandangan.

“Jadi kolaborasi antara media dan Jabatan Mufti itu sangat penting untuk memberi pencerahan berkaitan isu semasa yang berlaku,” katanya kepada Sinar Harian

Menurut Mohd Sukki, beliau bersetuju dengan cadangan Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengenai perlunya mufti setiap negeri memberi respons kepada isu yang berlaku dalam negeri.

“Bila isu itu berlaku dalam negeri jadi mufti negeri itu bertanggungjawab untuk respons, tapi kalau isu nasional mana-mana mufti pun boleh beri pendapat.

“Jadi mufti mufti perlu lebih proaktif dalam membicarakan isu-isu semasa seperti kes menyimpan mayat bayi dalam peti beku selama 16 hari baru-baru ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Sukki berkata, berkaitan isu mayat bayi berkenaan, beliau berpendapat agama Islam sangat menuntut agar menyegerakan pengurusan jenazah.

Artikel Berkaitan:

“Melainkan ada sesuatu yang mendesak seperti keperluan untuk forensik atau undang-undang, tetapi itu pun tidak boleh simpan terlalu lama.

“Atau pun dalam keadaan bencana seperti bencana alam atau darurat yang memerlukan pengurusan jenazah ditangguhkan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!