Promosi alternatif pinjaman untuk kawal, kurangkan peratusan hutang isi rumah

Laporan Sinar Harian berhubung cadangan menetapkan had nisbah hutang isi rumah berbanding KDNK pada 65 atau 70 peratus.
Laporan Sinar Harian berhubung cadangan menetapkan had nisbah hutang isi rumah berbanding KDNK pada 65 atau 70 peratus.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mempromosi alternatif melibatkan setiap bentuk pinjaman untuk tujuan peribadi, perumahan, kenderaan serta perniagaan bagi mengawal dan mengurangkan peratusan hutang isi rumah.

Pakar ekonomi dari Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, hutang isi rumah akan jatuh mendadak malahan kurang dari 50 peratus sekiranya alternatif pinjaman tersebut diperkasakan.

“Pandangan saya, bukan fokus terhadap peratusan hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) semata-mata tetapi lebih memperkasakan alternatif kepada pembiayaan berasaskan hutang.

“Sebagai contoh, Qardh al-Hasan (pinjaman ihsan) menggantikan pinjaman peribadi, Musyarakah Mutanaqisah menggantikan pinjaman perumahan dan pembiayaan berasaskan langganan menggantikan pinjaman kereta.

“Selain itu, musyarakah dan mudharabah serta pendanaan awam ekuiti boleh menggantikan pinjaman perniagaan. Bila semua alternatif pinjaman ini diperkasakan, hutang isi rumah akan jatuh mendadak malah lagi kurang dari 50 peratus,” katanya pada Sinar Harian.

Pada Isnin, Senator, Mohd Hasbie Muda menyarankan kerajaan untuk menetapkan had nisbah hutang isi rumah berbanding KDNK pada 65 atau 70 peratus.

Katanya, langkah itu dapat mengawal hutang isi rumah sebanyak RM1.57 trilion bagi tempoh sehingga Jun 2024 atau 83.8 peratus daripada KDNK.

Sementara itu, pakar ekonomi, Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan pula berkata, kaedah lebih berkesan untuk mengawal masalah berkenaan adalah melalui kawalan dalaman bagi setiap isi rumah.

“Nisbah hutang isi rumah berbanding KDNK masih terkawal dan berada dalam trend menurun iaitu 84.2 peratus pada Disember 2023 kepada 83.8 peratus pada Jun 2024. Sebahagian besarnya, 60.5 peratus disumbang oleh pertumbuhan dalam pinjaman perumahan.

“Angka ini tidak pelik kerana kediaman merupakan antara keperluan utama rakyat Malaysia. Penetapan had nisbah hutang isi rumah berbanding KDNK pada satu angka adalah inisiatif baik untuk mengekang risiko keberhutangan melampau.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi kaedah lebih berkesan adalah menerusi kawalan dalaman khususnya dari segi peningkatan tahap literasi dan pembudayaan mengendalikan kewangan berhemah,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!