KL City nafi bekalan selesa JDT
HASRAT juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) membawa bekalan selesa tidak berhasil apabila sekadar menang 2-1 ke atas Kuala Lumpur City FC (KL City) dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras,.
Pada aksi tersebut, anak buah Hector Pablo Bidoglio bermula dengan strategi menyerang apabila cuba mendapatkan jaringan seawal minit permainan.
Namun, mereka hanya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-33 menerusi penyudah tenang Bergson da Silva hasil hantaran Oscar Pasero Arribas dari sebelah kiri padang.
Separuh masa kedua, JDT terus menggandakan asakan tetapi buntu selepas gagal menembusi pertahanan kental Kuala Lumpur City.
Gol dicari Harimau Selatan akhirnya hadir apabila Heberty Fernandes menggandakan jaringan untuk Harimau Selatan pada minit ke-79.
Namun, Brendan Gan memusnahkan impian itu apabila menyambut hantaran dari sebelah kanan padang sebelum melakukan sepakan gunting padu yang menewaskan penjaga gol JDT, Syihan Hazmi, pada minit ke-89.
Sementara itu, Sri Pahang FC membawa pulang kelebihan satu gol selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Perak FC di Stadium Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM
Cuaca hujan sepanjang perlawanan jelas menjejaskan usaha anak buah Yusri Che Lah apabila pasukan tuan rumah berjaya mencipta beberapa peluang namun gagal memanfaatkannya.
Sebaliknya, pasukan pelawat mendahului pada minit ke-23 menerusi jaringan pemain import Kpah Sherman.
Ketika perlawanan hampir tamat, penjaga gol Sri Pahang, Muhammad Zarif Irfan dilayangkan kad merah selepas pemeriksaan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati dia menyiku pemain Perak, Clayton Da Silva.
JDT akan meneruskan saingan aksi kedua suku akhir berdepan KL City di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri 21 Disember manakala Sri Pahang akan menentang Perak di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, pada 22 Disember.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!