Pensyarah universiti rugi RM115,600 diperdaya sindiket tawar kerja sambilan
BATU PAHAT - Gelap mata dengan dengan tawaran keuntungan tinggi, seorang pensyarah sebuah universiti awam akhirnya menanggung kerugian RM115,600 akibat diperdaya sindiket pekerjaan sambilan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, lelaki berusia 44 tahun itu tertarik dengan tawaran kerja sambilan yang menjanjikan keuntungan tinggi pada 7 Mei lalu.
"Mangsa ditawarkan kerja sambilan yang memberikan keuntungan sebanyak 15 peratus.
"Bagaimanapun, mangsa diminta mendaftar dan membeli barangan melalui laman web diberikan terlebih dahulu dan akan teruma keuntungan seperti yang dijanjikan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut Shahrulanuar, antara Mei hingga sehingga 30 September lalu, mangsa telah memasukkan wang ke dalam enam akaun berbeza secara berperingkat dengan jumlah keseluruhan RM115,600.
"Selepas memasukkan wang seperti diminta, mangsa mendapati laman web diberikan suspek sudah tidak boleh diakses.
"Pada masa sama, mangsa tidak menerima pulangan wang seperti mana dijanjikan dan ketika itu mangsa menyedari dia ditipu," katanya.
Jelasnya beliau, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sri Gading, Khamis lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!