'Tolong cik, pasport saya hilang'
DENGKIL - [DIKEMAS KINI] Berpura tidur, dakwa tinggal seorang selain meraih simpati konon pasport hilang antara taktik lapuk warga asing asing yang menetap di kawasan setinggan di Taman Ayer Hitam, di sini, bagi elak ditahan, pada Sabtu.
Serbuan Ops Sapu bermula jam 3.30 pagi itu dijalankan sepasukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor yang diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasanya, Johari Supardi hasil aduan awam.
Sinar Harian yang berpeluang menyertai operasi itu mendapati, semasa serbuan rata-rata penghuni sedang tidur dan tidak menyedari kehadiran anggota berkuasa.
Namun semasa pemeriksaan dilakukan dari rumah ke rumah, terdapat warga asing yang cuba menyembunyikan diri di sebalik langsir dan enggan membuka pintu dan memberi pelbagai alasan selepas gagal mengemukakan dokumen.
"Pasport saya ada cik, tapi sudah hilang. Janganlah tahan saya," kata seorang wanita warga Indonesia yang ditahan.
Sementara itu, Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, seramai 89 individu diperiksa.
Katanya, hasil saringan awal JIM Selangor bertindak menahan 49 warga asing berusia lingkungan 17 hingga 55 tahun atas pelbagai kesalahan.
“Tangkapan membabitkan 30 lelaki dan 19 wanita terdiri daripada 45 warga Indonesia dan empat Myanmar.
"Semakan awal mendapati, antara kesalahan utama pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dikesan dalam operasi itu adalah tiada dokumen perjalanan sah dan tinggal lebih masa," katanya pada Sabtu.
Beliau berkata, kesemua tangkapan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Menurutnya, cabaran ketika serbuan dilakukan ialah cubaan warga asing menyorok, enggan beri kerjasama dengan tidak membuka pintu dan buat endah tak endah arahan daripada pegawai operasi selain keadaan lokasi serbuan yang agak padat dengan rumah sewa serta jalan yang sempit.
Tambah Khairrul Aminus, lokasi ini merupakan kali pertama diserbu dalam tempoh tiga tahun.
"Usaha menggempur PATI akan terus dipergiatkan khususnya di Selangor," ujarnya.
End.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!