Polis kenal pasti pemilik kenderaan langgar tiang LRT
PETALING JAYA - Polis telah mengenal pasti pemilik kenderaan yang terlibat dalam kemalangan melanggar tiang Transit Aliran Ringan (LRT), Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, polis telah memperoleh butiran dan merakam keterangan pemilik kenderaan tersebut.
"Berdasarkan keterangan, pemilik itu mengesyaki mangsa kemalangan adalah anaknya yang dipercayai memandu kenderaan itu ketika kejadian," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Shahrulnizam berkata, bagaimanapun pengesahan identiti mangsa tidak dapat diberikan sehingga laporan pengesahan asid deoksiribonukleik (DNA) diperolehi.
"Setakat ini permohonan DNA telah dilakukan dan dijangka akan diperoleh dalam tempoh antara satu hingga dua minggu.
"Sebarang perkembangan berkaitan siasatan yang dijalankan akan dimaklumkan semula," katanya.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan seorang pemandu kereta maut terbakar di lokasi kejadian apabila kenderaan dipandu hilang kawalan dan terbabas melanggar tiang Transit Aliran Ringan (LRT), di sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, kemalangan tersebut membabitkan sebuah kereta jenis Honda Accord dalam kejadian 6.20 pagi di Lebuhraya Persekutuan menghala Kuala Lumpur.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta tersebut dipercayai hilang kawalan, seterusnya terbabas melanggar tiang LRT dan menyebabkan kenderaan itu terbakar.
Jelas beliau, mangsa yang merupakan pemandu kenderaan tersebut terbakar seluruh badan dan disahkan maut di lokasi kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!