Depan premis kolam pancing udang, belakang tempat judi
KUANTAN - Sindiket perjudian dalam talian di sekitar daerah ini dikesan berselindung di sebalik perniagaan lain seperti premis kolam memancing udang, kedai telekomunikasi dan kedai runcit bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Kegiatan haram itu dipercayai beroperasi selama enam bulan sejak Januari tahun ini sebelum diserbu pihak berkuasa Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, sebanyak 13 premis yang terlibat menjalankan aktiviti perjudian di daerah ini telah mendapat arahan untuk tindakan pemotongan bekalan elektrik di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001).
Menurutnya, 10 daripada premis tersebut telah dilaksanakan pemotongan bekalan elektrik menerusi operasi pemotongan elektrik yang dijalankan bersama Unit Operasi Tenaga Nasional Berhad (TNB) bermula Khamis lalu hingga Sabtu.
"Semua premis yang telah dilaksanakan operasi pemotongan bekalan elektrik itu terletak di kawasan Kempadang, Sungai Soi, Sungai Isap, Balok dan Gambang.
"Hasil pemeriksaan dijalankan sebelum ini mendapati premis tersebut menjalankan aktiviti perjudian terutama judi dalam talian dengan menawarkan khidmat tambah nilai, promosi judi, permainan judi dan loteri haram.
"Premis yang terlibat dengan pemotongan itu adalah bagi kes-kes yang telah pun dijatuh hukum di mahkamah," katanya ketika ditemui pada operasi pemotongan bekalan elektrik ke atas premis kolam memancing udang dan kedai runcit di Kempadang di sini yang sebelum ini diambil tindakan kerana menjalankan aktiviti perjudian dalam talian.
Wan Mohd Zahari berkata, pihaknya telah membuat permohonan potongan bekalan kepada pihak TNB untuk 33 premis tahun ini dan 13 premis mendapat arahan untuk tindakan itu.
"Tindakan ini bagi memastikan premis terlibat tidak kembali beroperasi menjalankan aktiviti perjudian," katanya.
Sementara itu jelasnya, sebanyak 106 premis di daerah ini telah diperiksa kerana disyaki terlibat dengan aktiviti itu.
"Hasil pemeriksaan itu, seramai 126 individu telah ditahan termasuk pekerja premis warga asing," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!