Nilai ringgit kukuh, inflasi terkawal petanda positif lonjakan pertumbuhan negara

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan
Datuk Seri Amir Hamzah Azizan
A
A
A

PUTRAJAYA - Nilai Ringgit yang kembali pulih, inflasi kekal terkawal serta kadar pengangguran kekal rendah merupakan antara petanda positif yang akan melonjakkan keyakinan terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Malaysia kini berada pada trajektori pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh dan dijangka melebihi lima peratus pada 2024.

“Defisit fiskal juga semakin berkurang, dijangkakan 4.3 peratus untuk tahun ini.

“Manakala jumlah pelaburan yang diluluskan bernilai RM254.7 billion, meningkat 10.7 peratus bagi Januari-September 2024 berbanding tempoh yang sama pada 2023,” katanya menerusi hantaran di laman media sosial rasmi beliau pada Sabtu.

Amir Hamzah yang genap setahun memegang portfolio Menteri Kewangan II pada Khamis lepas (12 Disember) berkata, fokus utama beliau adalah untuk melaksanakan ikhtiar sejajar dengan kerangka Ekonomi MADANI.

Antaranya adalah menstruktur semula ekonomi dengan meluaskan pendapatan negara, membela kesejahteraan rakyat dengan saksama dan terangkum dan menyediakan sokongan tatakelola yang lebih baik.

“Bagi saya, tatakelola adalah garis pemisah antara kebatilan dan kejayaan.

Artikel Berkaitan:

“Ia jelas dan pasti, tetapi mengimbangi peluasan fiskal dan kebajikan rakyat memerlukan seluruh pengalaman dan pengetahuan yang saya timba selama 27 tahun daripada dunia korporat sebelum ini,” katanya.

Amir Hamzah berkata, Belanjawan 2025 adalah pemacuan kerangka Ekonomi MADANI yang membawa agenda kemanusiaan.

“Program-program bantuan lebih menyeluruh dan berfokus disediakan untuk memastikan tiada seorang pun yang tertinggal dalam arus pembangunan negara,” katanya.

Mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2025 yang diluluskan di Dewan Negara pada Khamis, beliau berkata langkah seterusnya adalah pelaksanaan belanjawan yang bakal mendepani cabaran geopolitik dan ketidaktentuan pasaran.

“Walaupun begitu, kita bertekad untuk memastikan ketahanan ekonomi negara akan terus terpelihara.

“Pelbagai langkah-langkah proaktif telah diambil untuk meningkatkan daya saing negara di peringkat antarabangsa, sambil memastikan kestabilan kewangan dalam negara,” katanya.

Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober melibatkan peruntukan sebanyak RM421 bilion merupakan belanjawan terbesar pernah dibentangkan dalam sejarah dan diselaraskan secara strategik dengan kerangka Ekonomi MADANI.

Belanjawan itu menumpukan kepada menarik pelaburan berkualiti tinggi, memacu peluang perniagaan, melaksanakan projek untuk kesejahteraan rakyat dan tidak menjejaskan kemampuan mereka dalam membeli barangan keperluan dan perkhidmatan.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!