Kos haji meningkat atau kekal diumum pada Isnin
SHAH ALAM - Pengumuman kos bagi mengerjakan haji bagi tahun hadapan akan dibuat pada Isnin sekali gus menjawab persoalan sama ada berlaku peningkatan atau kos dikekalkan.
Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi jemputannya kepada pihak media memaklumkan, Majlis Pengumuman Kos Haji, Bayaran Haji dan Bantuan Kewangan Haji 1446H akan berlangsung di Menara Tabung Haji Tun Razak, Kuala Lumpur pada jam 9.30 pagi.
Ia bakal disempurnakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman.
Isnin lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dilapor berkata, penetapan sama ada kos bagi mengerjakan haji meningkat atau kekal akan diumumkan dalam masa terdekat.
Katanya, perkara berkenaan dalam peringkat akhir perbincangan dan akan dibawa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dimuktamadkan sebelum diumumkan.
Agihan surat tawaran kepada mereka yang layak juga akan dibuat selepas pengumuman berkaitan kos mengerjakan haji.
Untuk rekod, bagi tahun 2024, kadar bayaran bagi jemaah haji muassasah kumpulan B40 yang menunaikan ibadah itu buat kali pertama ditetapkan pada RM12,356 seorang.
Kadar bayaran bagi bakal haji kumpulan M40 yang kali pertama menunaikan ibadat itu pula ialah RM19,152 seorang.
Ia susulan kos haji bagi seorang haji muassasah pada 2024 ditetapkan RM33,300 berbanding RM30,850 pada 2023.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!