Keluarga tinggal di kaki lima warga Indonesia
CHERAS - Sebuah keluarga yang tinggal di kaki lima berdekatan kawasan industri Taman Megah di sini yang kisahnya tular di media sosial sejak beberapa hari lalu adalah warga Indonesia.
Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerusi satu kenyataan memaklumkan, sebaik menerima maklumat berhubung kes keluarga tersebut di media sosial, pihaknya melakukan pencarian untuk menghulurkan bantuan.
Menurut kenyataan itu, Team Zakat Selangor Cheras yang membuat semakan di lokasi pada awalnya mendapati keluarga tersebut adalah gelandangan.
“Untuk kes ini kami bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana golongan gelandangan termaktub di bawah Akta Orang Papa 1977.
“Hasil semakan lanjut mendapati keluarga tersebut merupakan warga Indonesia yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan, pihak JKM ingin membawa keluarga tersebut ke pusat perlindungan sementara, namun gagal kerana tidak mendapat kerjasama daripada keluarga berkenaan.
“JKM telah membuat laporan kepada Jabatan Imigresen untuk urusan penghantaran pulang mereka ke negara asal. Kes ini diuruskan sepenuhnya oleh JKM dan pihak imigresen.
“Kami mengucapkan terima kasih atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh masyarakat,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, seorang pemilik Facebook memuat naik sekeping gambar memaparkan beberapa orang kanak-kanak tidur berlantaikan simen di kaki lima dipercayai berdekatan kawasan industri.
Gambar dengan kapsyen ‘Hari-hari aku pergi kerja nampak dia orang, tanya orang katanya dia orang ini tak ada rumah tak ada tempat tinggal’ tular dan dikongsi ribuan netizen.
Pemilik akaun tersebut turut memberitahu, keluarga berkenaan hanya bergantung harap makanan dan pakaian sumbangan daripada orang ramai.
“Makanan pakaian harapkan orang bagi. Malam ni pergi melawat tengok betul ke tak. Sekali nak nangis tengok dia orang tidur tak berlapik tilam dan bantal cuma selimut saja. Ya ALLAH kau lindungilah mereka kesian anak kecil kalau kita rasa kita susah ada lagi lebih susah daripada kita.
“Kalau ada yang nak sedekahkan pakaian bolehlah mesej peribadi (PM) kita hari ini kita tolong orang Insya- ALLAH akan datang orang tolong kita,” tulis pemilik akaun itu di bahagian kapsyen gambar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!