Kilang jahit pakaian gajikan PATI diserbu
KUALA LUMPUR - Tindakan sebuah kilang menjahit pakaian di Cheras diuruskan seorang lelaki warga Bangladesh dipercayai menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) terbongkar dalam serbuan yang dijalankan pada Rabu.
Operasi pada jam 9.15 malam itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Pencegahan Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran serta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Jabatan Imigresen Malaysia.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi dilaksanakan susulan aduan awam dan risikan pihaknya selama dua minggu.
"Pasukan serbuan mulanya menahan seorang lelaki warga Bangladesh berumur 46 tahun yang bertindak sebagai pengurus syarikat dan dipercayai antara dalang terlibat menggaji warga asing secara tidak sah.
"Selain itu, turut ditahan seramai 34 lelaki warga Bangladesh dan 15 wanita warga Myanmar berumur lingkungan 20 hingga 60 tahun dipercayai sebagai pekerja tukang jahit di kilang berkenaan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Katanya, operasi turut merampas beberapa peralatan di kilang terbabit antaranya 40 keping kad perakam waktu dan peralatan menjahit.
"Siasatan mendapati kilang ini telah beroperasi selama dua tahun dan diuruskan seorang lelaki warga Bangladesh.
"Tindakan terhadap kesemua tangkapan dijalankan di bawah Seksyen 55B dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.
Menurutnya, kesemua individu ditahan dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut.
"Jabatan Imigresen Malaysia akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!