'Tiada perpecahan Bersatu Tanjong Karang' - Nurul Syazwani
KUALA SELANGOR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tanjong Karang menafikan berlakunya perpecahan dalam parti itu membabitkan ahlinya.
Ketuanya, Nurul Syazwani Noh berkata, tidak timbul isu perpecahan dalam kalangan ahli parti itu meskipun berlakunya pemilihan di peringkat bahagian.
"Masa kita hantar borang pencalonan pada Sabtu lalu, memang tiada pertandingan (bagi jawatan Ketua Bersatu Bahagian Tanjong Karang)," katanya ketika ditemui selepas Persidangan Tahunan Bersatu 2024 di Pondok Warga Emas Nurul Hasanah, Kampung Bukit Belimbing di sini pada Sabtu.
Nurul Syazwani sebelum ini merupakan Ketua Penaja Bersatu Bahagian Tanjong Karang menang tanpa bertanding selepas pemilihan Bersatu bahagian itu diadakan pada 7 Disember lalu.
Jawatankuasa Bahagian Bersatu Tanjong Karang sebelum ini digantung susulan ketua bahagiannya menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun Nurul Syazwani memberitahu, barisan jawatankuasanya kali ini terdiri dalam kalangan gandingan muka baharu dan lama.
Beliau yang juga ADUN Permatang berkata, gandingan itu dianggap sebagai ramuan paling terbaik memperkukuhkan lagi parti itu bagi menghadapi pilihan raya sama ada di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri akan datang.
"Sudah tentu kita ingin mempertahankan kerusi Parlimen Tanjong Karang meskipun penyandangnya menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.
"Namun di peringkat Bersatu, kami akan memastikan kerusi itu terus kekal menjadi milik kami dan mempertahankan DUN Permatang," ujar beliau.
Nurul Syazwani sebelum ini dilantik sebagai Ketua Penaja Bersatu Bahagian Tanjong Karang pada 20 Mei lalu.
Pada 24 Januari lalu, Ahli Parlimen Tanjong Karang yang juga bekas Ketua Bersatu bahagian itu, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi menjadi pemimpin blok pembangkang keenam yang menyatakan sokongan kepada Anwar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!