SKMM uji teknologi internet tanpa wayar Tarana, pastikan Jendela 2 lebih baik

Fahmi ketika mengadakan lawatan kerja di Dewan Masyarakat Kampung Seri Bunian di Pontian pada Sabtu.
Fahmi ketika mengadakan lawatan kerja di Dewan Masyarakat Kampung Seri Bunian di Pontian pada Sabtu.
A
A
A

PONTIAN - Pelaksanaan pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) fasa kedua akan dipastikan lebih baik terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman selepas fasa pertama kini dilaporkan menghadapi kelewatan ketara.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fazdil berkata, penggunaan teknologi internet tanpa wayar oleh Tarana antara langkah yang sedang dikaji bagi mengatasi isu pemasangan gentian optik yang sukar.

Menurut beliau, peranti jalur lebar tanpa wayar terbabit sudah diuji sejak Oktober lalu di empat lokasi termasuk di Kampung Seri Bunian di sini dan Sedenak, Kulai menunjukkan keputusan memberangsangkan.

"Dari segi spesifikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan terus mengkaji tetapi ada beberapa perkara yang saya boleh pertimbangkan untuk kegunaan dalam penyelesaian yang kita rangka contohnya dalam program Jendela fasa dua.

"Pelbagai teknologi baru yang muncul kita dapati stabil, ideal, agak pantas dan telah digunakan beberapa negara lain dan berkemampuan untuk menyelesaikan masalah khusus Malaysia.

"Contohnya kita ada tempat yang gunung-ganang, bukit- bakau dan ada juga yang merentasi sungai ataupun sampai ke pulau-pulau, untuk melengkapkan 1.8 peratus kawasan berpenduduk di negara ini yang masih belum mempunyai capaian internet," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja meninjau tapak projek Prove of Concept (POC) Tarana di Dewan Masyarakat Kampung Seri Bunian di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan pelaksanaan Jendela fasa satu sangat tidak memuaskan dengan pelbagai masalah termasuk teknologi yang digunakan tidak sesuai dengan lokasi.

Artikel Berkaitan:

"Semasa dalam Parlimen saya ada sebutkan Jendela fasa satu daripada 1,661 menara yang dirancang, hanya 1,385 telah siap dibina, dan daripada jumlah itu, hanya 808 menara telah digunakan setakat ini.

"Kita teliti dan antara kesilapan yang kita anggap kecelaruan pada ketika itu ialah teknologi yang digunakan tidak sesuai dengan lokasi tertentu, di samping masalah tanah dan bekalan tenaga," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!