Cadang wujud 'payung' penyatuan kaum Melayu - Noh
KUALA SELANGOR - Timbalan Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Noh Omar mencadangkan semua pimpinan terdiri dalam kalangan parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) mewujudkan 'payung' atau pertubuhan yang mewakili suara kaum Melayu di negara ini.
Noh berkata, pertubuhan mewakili 'suara' orang Melayu itu akan mengetengahkan kepentingan kaum itu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, sudah tiba masanya kaum itu bersatu dan mengetepikan kepentingan politik demi survival bangsa itu pada masa depan.
"Payung ini bukan saja mewakili parti politik, namun (turut disertai) NGO dan individu.
"Kita kena faham bahawa parti politik berjuang untuk mendapatkan kuasa, namun NGO matlamatnya secara sukarela tanpa kepentingan peribadi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Persidangan Tahunan Bersatu 2024 di Pondok Warga Emas Nurul Hasanah, Kampung Bukit Belimbing di sini pada Sabtu.
Noh memberitahu, pada masa ini, tiada tempat rujukan sekiranya berlaku perpecahan dalam kalangan parti Melayu.
"Kalau ada bapa (pertubuhan Melayu), saya yakin ia dapat diselesaikan di bawah satu payung.
"Perkara ini antara cadangan saya semasa perjumpaan pada Persidangan Meja Bulat Pemimpin Melayu di Putrajaya, Jumaat lalu.
Bagaimanapun Noh menjelaskan, sesiapa ahli politik yang menyertai pertubuhan itu mestilah bebas dan tidak mempunyai kepentingan politik.
Mengambil contoh pertubuhan Pertubuhan Pendidikan Dong Jiao Zong yang lantang bersuara mengetengahkan isu berkaitan kaum Cina terdiri dalam kalangan bukan ahli politik.
"Misalnya sebelum ini, NGO dan parti politik pernah menghimpunkan lebih 1 juta ummah menentang ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum).
"Kita dapat lihat pada masa itu ramai orang melayu bangkit sehingga mendapat perhatian antarabangsa.
"Mungkin payung itu nanti juga boleh menghadap sultan atau Raja-Raja Melayu tanpa mewakili mana-mana parti politik tetapi suara orang Melayu.
"Sekarang ini, kita ada sekretariat namun saya berharap ia menjadi payung dan NGO yang menyatukan perpaduan Melayu," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!