Dua bidan jual 66 bayi sejak 10 tahun
JAKARTA - Dua bidan ditahan selepas disyaki terbabit dalam pemerdagangan bayi di Tegalrejo, Yogyakarta, Indonesia, lapor kompas.com
Suspek yang hanya dikenali sebagai JE berusia 44 tahun dan DM berusia 77 tahun didapati terbabit menjual 66 bayi sejak 10 tahun lalu.
Pengarah Kesihatan Kota Yoyakarta, Emma Rahmi Aryani berkata, kedua-dua suspek tidak mempunyai lesen kebenaran menyambut bayi (SIP) atau kebidanan.
"Pada masa ini DM dan JE tidak mempunyai SIP untuk melakukan kerjaya kebidanan," kata Emma sambil menambah kes ini telah melanggar peraturan kesihatan yang mengancam nyawa bayi.
Sementara itu, Pengarah Siasatan Jenayah Polis Wilayah DIY, Pesuruhjaya Kanan FX Endriadi, mendedahkan bahawa suspek telah melakukan kegiatan tersebut selama 10 tahun.
"Rekod transaksi menunjukkan mereka menjual 66 bayi membabitkan 28 lelaki dan 36 perempuan serta dua lagi tanpa identiti jantina mereka," katanya.
Difahamkan, harga bayi perempuan sekitar 55 juta rupiah (RM15,583) manakala bayi lelaki 60 juta rupiah (RM16,672). - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!