Hidap kanser testis, pelakon Marcsyahmie kongsi pengalaman jalani rawatan kemoterapi
PELAKON baharu, Ahmad Syahmie Mahayudin, 25, berkongsi pengalaman perlu mandi lima ke enam kali sehari kerana kepanasan selepas menjalani rawatan kemoterapi akibat kanser testis.
Ahmad Syahmie atau lebih dikenali sebagai Marcsyahmie berkata, dia tidak menyangka bengkak sebesar bola tenis pada bahagian testis sebelah kiri rupa-rupanya tanda dia menghidap kanser sejak Januari lalu.
"Saya tidak pernah merasa sakit atau mempunyai tanda-tanda sebagai pesakit kanser memandangkan keluarga juga tiada sejarah sakit itu.
"Pada awalnya memang tak pernah terfikir akan dapat kanser, saya mula perasan ketulan tersebut pada Januari dan selepas 10 bulan iaitu Oktober baru ambil keputusan untuk jumpa doktor sebab (ketulan) sudah mula besar seperti bola tenis.
"Selepas buat pemeriksaan, kena tunggu sehingga ke dua minggu untuk tahu keputusan diagnosis sama ada hanya ketulan atau testis bahagian kiri yang perlu dibuang," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Ahmad Syahmie memaklumkan, pembedahan perlu dilakukan segera bagi mengelakkan sel kanser merebak ke organ lain iaitu hati.
Ujarnya, kini dia dalam fasa pemulihan dan baru sahaja selesai mendapatkan rawatan kemoterapi untuk mematikan sel kanser secara keseluruhan.
"Saya kongsi semula pengalaman rawatan kemoterapi pertama kali seumur hidup. Bukan nak minta simpati cuma nak beri kesedaran dan pengetahuan yang proses ini tidak teruk dan seram seperti yang disangka.
"Kalau ikutkan taknak pun buat rawatan ini sebab saya ingatkan kalau buat memang sudah tak boleh buat aktiviti macam dulu. Ada baiknya juga sakit ini dapat juga tambah pengetahuan pasal cara rawatan kanser ini.
"Rawatan kemoterapi yang saya buat adalah dos paling tinggi sebab kalau ikutkan kena buat tiga kali. Doktor sarankan untuk buat juga sebab takut sel kanser datang balik, kalau datang kali kedua biasanya akan lebih teruk boleh jadi terus ke tahap tiga atau empat," jelasnya.
Tambah Ahmad Syahmie, antara simptom lain yang dirasai dalam tempoh beberapa hari mendapatkan rawatan adalah badan terasa sangat lemah, sakit urat, loya dan tiada selera makan.
Bagaimanapun katanya, tempoh pemulihan itu hanya sekejap sahaja kerana tubuh manusia memerlukan masa untuk pulihkan tenaga, antibodi dan menjana semula sel darah putih yang baru.
"Saya bersyukur sebab perlu buat rawatan kemoterapi sekali sahaja. Biasanya yang sampai kepala botak itu sebab mereka buat rawatan banyak kali, mungkin kanser mereka berada di tahap yang teruk dan berbahaya," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!