Geng trak tunda 4 negeri bantu mangsa banjir di Tumpat
TUMPAT - Sebanyak 70 trak tunda dari empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kuala Lumpur memberikan perkhidmatan percuma bagi membawa kenderaan ditenggelami banjir di daerah ini ke bengkel.
Penasihat Towing Terengganu & Kelantan, Wan Mohd Izani Wan Hassan, berkata, bantuan dilakukan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat melalui Program Komuniti Policing di Pantai Sri Tujoh di sini, pada Sabtu.
“Kami lakukan hebahan melalui kumpulan WhatApps bagi pemilik trak tunda yang mahu terlibat memberi bantuan dan ia mendapat sambutan amat menggalakkan.
“Mereka datang dari Terengganu, Kelantan seperti Gua Musang, ada juga dari Kuantan dan Raub, Pahang serta Kuala Lumpur untuk membantu mangsa banjir membawa kenderaan rosak terjejas bencana ini ke bengkel-bengkel pilihan mereka,” katanya ketika ditemui di Pantai Sri Tujoh, di sini, pada Sabtu.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintenden Ibrahim Husin.
Wan Mohd Izani memberitahu, pemandu dan kelindan trak tunda seramai 200 yang menyertai program pasca banjir itu turut sama menjalankan misi membantu membersihkan kawasan masjid serta tahfiz terjejas banjir.
“Kami sasarkan dapat bantu 200 atau lebih kenderaan tenggelam banjir untuk dibawa ke bengkel bagi membaiki kerosakan yang dialami,” ujarnya.
Sementara itu, seorang pemilik trak tunda, Daud Awang, 62, berkata, pihaknya bermurah hati untuk membantu mangsa banjir bagi meringankan bebanan yang dialami.
Katanya, sebagai pemilik trak tunda, kenderaan mereka turut berdepan risiko rosak apabila banjir terlalu dalam hingga 0.9 meter untuk pergi mengambil kenderaan terjejas.
“Sebab saya sendiri pun orang susah, apabila kena banjir, ramai akan terdesak dan tiada duit, jadi kita patut bantu beri makanan atau setakat yang mampu.
“Macam bantu tunda kereta rosak ini, jika tidak kena bayar dalam RM50, RM80 pada waktu biasa, tetapi kalau banjir atau air terlalu dalam akan dikenakan caj RM200 hingga RM300,” katanya.
Mangsa banjir, Che Mazlan Man, 46, berkata, kereta Proton Wira Aeroback miliknya tenggelam banjir setinggi 0.9 meter di Cherang Melintang di sini, dua minggu lalu.
Dia yang bekerja sebagai buruh binaan memberitahu baru setahun membeli kereta terpakai itu dengan harga RM4,200.
“Mujurlah ada trak tunda ini, kalau tidak sudah lebih dua minggu menunggu.
“Jika tidak, upah tunda sekitar RM200, belum kos baiki dalam anggaran RM500 untuk cuci enjin tenggelam banjir atau pun lebih lagi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!