Lebih 60 spesies ikan air tawar di Tasik Kenyir jadi tarikan kaki pancing
HULU TERENGGANU - Lebih 60 spesies ikan air tawar di Tasik Kenyir menjadi tarikan sempena acara International Monsoon Casting Tournament (IMCT) yang diadakan selama empat hari bermula 13 hingga 16 Disember ini.
Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Ahmad Ridzwan Abd Rahman berkata, acara yang memasuki siri ke-16 kali ini disertai seramai 350 orang peserta dari dalam dan luar negara termasuk Korea, Thailand, Amerika Syarikat, Indonesia, Singapura dan Brunei.
Menurutnya, penganjuran IMCT setiap hujung tahun merupakan antara tarikan di lokasi itu terutama ketika musim Monsun Timur Laut (MTL).
"Penganjuran IMCT berkonsepkan 'tangkap dan lepas' bertujuan untuk menjaga kelestarian ekosistem marin dan konservasi di Kenyir Geopark yang berkonsepkan ecotourism serta menyokong usaha-usaha pemuliharaan dan pemeliharaan alam.
"Penganjuran IMCT ini juga sedikit sebanyak telah menjadikan Tasik Kenyir sebagai salah sebuah destinasi terbaik dalam kalangan peminat tegar aktiviti casting dan 'gamefish' buruan terkenal pelbagai spesis yang sukar didapati tetapi ada di sini," katanya.
Dalam pada itu, sebanyak 20,000 benih ikan telah dilepaskan sempena Majlis Pelepasan Benih Ikan di Sungai Leban, di sini pada Sabtu meliputi spesies kelah, lampam dan baung.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail yang menyempurnakan acara tersebut.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, sebanyak tiga juta benih ikan air tawar dengan kos sebanyak RM1 juta telah dilepaskan ke Tasik Kenyir sepanjang tempoh lima tahun.
"Pihak jabatan dan agensi berkaitan sentiasa mencari inisiatif bagi memastikan kepelbagaian spesies ikan air sungai ini terpelihara bukan sahaja untuk manfaat nelayan namun juga untuk aktiviti perikanan rekreasi.
"Berdasarkan rujukan lebih 60 spesies ikan terdapat di Tasik Kenyir berbanding keseluruhan kira-kira 300 spesies ikan di seluruh negara.
"Antara ikan yang terdapat di sini ialah temoleh, lampan, kelah, jelawat, kerandang dan sebarau," ujarnya.
Tasik Kenyir merupakan tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara dibina bagi tujuan menjana kuasa elektrik dengan keluasan 260 kilometer persegi.
Kawasan ini telah mendapat pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan pada 31 Mei 2023 dalam Mesyuarat Jawatankuasa Geopark, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia dan ianya telah diberi nama Kenyir Geopark.
Pengiktirafan ini mampu membuka dimensi baharu kepada sektor pelancongan Tasik Kenyir yang sememangnya sudah mendapat tarikan utama dalam kalangan pelancong.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!