Rimisier rugi RM1.59 juta diperdaya sindiket pelaburan saham
JOHOR BAHRU - Tertarik dengan keuntungan 40 peratus dalam masa hanya 10 minit, seorang rimisier di sini kerugian RM1.59 juta selepas diperdaya pelaburan saham dalam talian yang dilihat di laman sosial.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, segalanya bermula selepas mangsa lelaki tempatan berusia 69 tahun melihat iklan pelaburan di laman sosial berkaitan pelaburan saham yang menjanjikan pulangan menguntungkan.
"Tertarik dengan iklan berkenaan, mangsa telah menekan pautan yang diberikan bagi mendapatkan maklumat lanjut.
"Mangsa telah ditawarkan keuntungan sehingga 40 peratus dari jumlah pelaburan yang dibuat hanya dalam tempoh 10 minit," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut Kumar, akibat percaya dengan keuntungan segera yang dijanjikan itu, mangsa telah membuat pembayaran RM1.63 juta ke dalam beberapa akaun bank seperti yang diarahkan suspek antara November hingga awal Disember.
Selain itu, katanya mangsa juga telah mengikut arahan suspek dengan memuat turun aplikasi yang diarahkan serta mendaftar akaun di aplikasi tersebut bagi memantau pelaburannya.
"Selepas bayaran dibuat, mangsa melihat status pelaburannya di aplikasi tersebut dan ia mencatatkan keuntungan.
"Mangsa mahu mengeluarkan wang keuntungan yang diperoleh itu, namun hanya menerima RM44,200 sahaja selepas itu.
"Akses mangsa ke aplikasi berkenaan telah disekat dan suspek gagal dihubungi selepas itu," katanya.
Jelas Kumar, mangsa percaya dirinya telah ditipu bertindak membuat laporan polis dengan menyatakan kerugian sebanyak RM1.59 juta dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Polis Johor menyeru orang ramai lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan di media sosial dan secara dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!