Polis, TNB Kuantan potong bekalan elektrik 10 premis judi haram

Operasi pemotongan bekalan elektrik oleh TNB dan polis di premis yang menjalankan kegiatan perjudian di Kuantan. Foto Bernama
Operasi pemotongan bekalan elektrik oleh TNB dan polis di premis yang menjalankan kegiatan perjudian di Kuantan. Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Sepuluh premis yang menjalankan kegiatan perjudian di daerah ini dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh pihak polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, tindakan itu dilakukan bagi melumpuhkan aktiviti perjudian termasuk dalam talian serta loteri tanpa lesen, bagi memastikan mereka kembali tidak beroperasi semula.

Beliau berkata, operasi itu dilakukan setelah mendapat arahan pemotongan dari mahkamah, melibatkan beberapa kawasan iaitu Kempadang, Tanjung Lumpur, Balok, Sungai Isap, Gambang dan Panching.

“Operasi pemotongan bekalan elektrik ini melibatkan kes yang telah dijatuhkan hukuman di mahkamah. Modus operandi mereka, berselindung di sebalik perniagaan kolam memancing udang, menjual gajet, perjudian dalam talian seperti tambah nilai judi dalam talian, jual loteri haram dan ada yang menawarkan bermain judi di premis.

“Sepanjang tahun 2024, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuantan telah mengemukakan 33 permohonan kepada pihak TNB untuk melakukan pemotongan bekalan elektrik bagi kes seperti itu, dan setakat ini kelulusan yang kita peroleh adalah 13. Sepanjang tiga hari operasi sejak Khamis, 10 premis sudah dipotong, tinggal lagi tiga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengetuai operasi pemotongan bekalan elektrik di beberapa premis di sekitar daerah ini, di sini hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata, tindakan pemotongan elektrik itu dilakukan di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (pindaan 2001). - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!