Kebun kelapa sawit ranap diserang gajah liar
GERIK - Seorang penduduk mendakwa kerugian lebih RM10,000 apabila tanaman pokok kelapa sawit diusahakan musnah diserang kumpulan gajah liar di Kampung Bandariang di sini, minggu lalu.
Mohd Daud Jawi, 62, berkata, kejadian itu disedari selepas melihat anak pokok kelapa sawit yang baharu ditanam di tanah seluas 1.6 hektar miliknya bulan lalu telah musnah.
Katanya, keadaan itu memberi kesan kepada pendapatannya memandangkan dia baru berjinak mengusahakan tanaman sawit.
"Sebelum ini saya tanam pokok getah tetapi tiga tahun kebelakangan ini tiada hasil diperolehi menyebabkan saya beralih kepada tanaman kelapa sawit.
"Pagar elektrik baru dipasang dan anak pokok ini juga baru saja ditanam. Terduduk saya lihat keadaan itu sebab belum pun menikmati hasilnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Mohd Daud yang merupakan seorang pesara berkata, dia kini tidak lagi mengusahakan kebunnya berikutan kelibat gajah sering kali dilihat memasuki kawasan itu sekali gus menjejaskan pendapatannya.
Seorang lagi penduduk, Azizan Abu, 44, berkata, kumpulan gajah liar itu dikesan mula menghampiri kawasan kediaman menyebabkan penduduk bimbang untuk ke kebun.
Katanya, konflik manusia dan mamalia itu telah berlarutan sejak beberapa bulan lalu mengakibatkan penduduk terpaksa menanggung banyak kerugian.
"Setiap hari gajah liar masuk kampung hinggakan tanaman pokok pisang, pokok betik dan kelapa yang saya usahakan habis dimakan.
"Penduduk juga tidak berani ke kebun untuk menoreh getah kerana bimbang sekiranya terserempak dengan haiwan liar terbabit.
"Pihak Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) telah banyak melakukan tangkapan serta sering melakukan kawalan tetapi gajah ini tetap datang dan masuk ke kampung-kampung," katanya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff ketika dihubungi memaklumkan pihaknya menerima aduan penduduk berhubung kehadiran kumpulan gajah liar ID Belum itu.
"Kakitangan Perhilitan Daerah Gerik telah membuat kawalan di lokasi aduan dan seterusnya menghalau semula kumpulan gajah itu masuk ke hutan berhampiran," katanya ringkas.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Perhilitan berjaya memindahkan kesemua 14 gajah liar dalam operasi translokasi di Kampung Batu 6, Bandariang di sini pada 15 September lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!