Pelancong China ditemukan lemas bersama beg galas berisi batu bata
SEMPORNA - Seorang pelancong lelaki warga China yang disyaki terjun ke dalam laut dengan memakai beg galas berisi tiga batu bata telah ditemukan lemas di perairan Pulau Mabul di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Sabri Zainol dalam kenyataannya pada Sabtu, berkata, mayat mangsa yang dianggarkan berusia dalam lingkungan 30-an ditemukan oleh penyelam orang awam pada kedalaman 17 meter dari aras laut sekitar jam 1.33 pagi.
"Polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 9.50 pagi. Bertindak atas maklumat tersebut, Pasukan Polis Marin (PPM) dengan bantuan penyelam dari pusat peranginan berhampiran telah menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa.
"Semasa ditemukan, mangsa masih memakai beg galas berwarna kelabu yang mengandungi tiga batu bata. Proses bedah siasat akan dijalankan dalam tempoh 48 jam sekiranya masih tiada waris yang tampil untuk menuntut mayat mangsa," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kertas siasatan telah dibuka dan diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR).
Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini supaya segera menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Mohd Ali Amat di talian 013-2120852 atau Balai Polis Semporna di talian 089-782020.
Katanya, orang ramai juga boleh tampil ke balai polis berhampiran untuk memberikan maklumat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!