Beri alasan tiada duit, masa nak ambil lesen

Halangan lalu lintas antara kesalahan tertinggi direkodkan dalam operasi bersepadu sekitar ibu kota pada Sabtu.
Halangan lalu lintas antara kesalahan tertinggi direkodkan dalam operasi bersepadu sekitar ibu kota pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada masa selain mendakwa tidak mempunyai wang untuk membuat lesen antara alasan diberikan segelintir penunggang motosikal yang ditahan dalam operasi bersepadu sekitar ibu kota pada Sabtu.

Operasi dijalankan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur itu turut mendapati beberapa penunggang motosikal juga sanggup melawan arus bagi mengelak daripada ditahan.

Selain itu, operasi sama dijalankan turut mendapati bilangan saman paling banyak dikeluarkan melibatkan kesalahan meletak kenderaan di tempat tidak dibenarkan.

Rata-rata pemandu serta penunggang yang ditahan bagi kesalahan ini memberikan alasan parkir disediakan penuh selain mendakwa hanya mahu meletak kenderaan sekejap sahaja.

Antara lokasi yang menjadi tumpuan dalam operasi bersepadu sekitar ibu kota pada Sabtu.
Antara lokasi yang menjadi tumpuan dalam operasi bersepadu sekitar ibu kota pada Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, operasi dijalankan bermula kira-kira jam 9 malam pada Jumaat sebelum berakhir kira-kira jam 12.30 tengah malam pada Sabtu.

Beliau berkata, operasi turut disertai Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, IPD Dang Wangi, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Antara lokasi menjadi tumpuan dalam operasi ini melibatkan kawasan di Jalan Bukit Bintang, Jalan Imbi, Jalan Ceylon, Jalan Changkat, Jalan Berangan, Jalan Walter Granier dan Jalan Tengkat Tungshin.

Artikel Berkaitan:

"Operasi dijalankan untuk menguatkuasakan undang-undang jalan raya melibatkan pelbagai kesalahan termasuk pengguna meletakkan kenderaan di tempat yang tidak sepatutnya sehingga mengganggu pergerakan lalu lintas," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, sebanyak 466 notis saman dikeluarkan atas pelbagai jenis kesalahan.

"Sebanyak 319 saman dikeluarkan oleh polis, JPJ (55) dan DBKL (92) kepada pengguna jalan raya yang didapati melakukan kesalahan lalu lintas.

"Pemeriksaan turut melibatkan penunggang motosikal yang melakukan pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu, cukai jalan serta pengubahsuaian yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan," katanya.

Menurutnya, operasi sama turut memfokuskan kepada kelancaran pergerakan kenderaan di sekitar kawasan Bukit Bintang.

"Kenderaan-kenderaan yang didapati ditinggalkan tanpa pemandu dialihkan menggunakan lori tunda PDRM dan DBKL.

"Selain itu, sebanyak 15 kenderaan telah ditunda melibatkan lima buah kenderaan oleh PDRM dan sebanyak 10 buah kenderaan oleh DBKL," katanya.

Azry berkata, operasi ini akan diteruskan setiap minggu bagi memastikan pemandu dan penunggang sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas ditetapkan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Hotline Balai Polis Trafik di talian 03 - 2026 0267/69 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!