Peniaga OKU rugi lebih RM6,000, barangan jualan ditenggelami banjir

Zainal Abidin dan isteri memeriksa barangan jualan mereka yang tidak dapat diselamatkan dalam banjir gelombang kedua sejak Selasa lalu. Foto Bernama
Zainal Abidin dan isteri memeriksa barangan jualan mereka yang tidak dapat diselamatkan dalam banjir gelombang kedua sejak Selasa lalu. Foto Bernama
A
A
A

CHUKAI - Seorang peniaga orang kurang upaya (OKU) dari Kampung Padang di Kemasik, di sini kerugian lebih RM6,000 selepas barang jualannya rosak akibat ditenggelami banjir gelombang kedua yang melanda kawasan itu, sejak Selasa.

Zainal Abidin Kamarudin, 50, berkata, lebih 100 kilogram ikan kering dan 500 beg terpakai yang menjadi punca rezeki mereka tujuh beranak, tidak dapat diselamatkan kerana paras air naik mendadak.

Beliau yang kudung kaki kiri sejak empat tahun lepas disebabkan penyakit kencing manis kronik mengakui kini risau dan buntu memikirkan nasib mereka sekeluarga, kerana telah kehabisan modal untuk memulakan kembali perniagaannya.

"Kami baru pulang dari pusat pemindahan sementara (PPS) semalam. Masuk sahaja ke rumah dah terhidu bau busuk.

"Kami dapati ikan masin yang sudah siap diproses dan diletakkan di dalam dulang sebelum banjir lima hari lepas bertaburan atas lantai. Dua guni yang mengandungi beg terpakai juga terpaksa dibuang kerana rosak teruk," katanya ketika ditemui di kediamannya.

Yurneli membersihkan rumah selepas dilanda banjir gelombang kedua yang disifatkan lebih teruk daripada 'bah kuning' pada 2014.
Yurneli membersihkan rumah selepas dilanda banjir gelombang kedua yang disifatkan lebih teruk daripada 'bah kuning' pada 2014.

Sementara itu, isterinya, Yurneli Fahrudin, 52, berkata, selain barangan jualan, banyak peralatan rumah dan elektrik turut rosak dalam kejadian banjir yang disifatkan lebih teruk daripada 'bah kuning' pada tahun 2014.

Yurneli berkata, beliau terpaksa menggagahkan diri dan mengerah lima anaknya yang berusia antara 8 dan 22 tahun untuk membantu membersihkan rumah, disebabkan pergerakan suaminya yang terbatas.

Artikel Berkaitan:

"Suami memang bergantung sepenuhnya kepada saya kerana dia berkerusi roda. Saya tidak sempat menyelamatkan barang-barang kerana perlu bawa keluar suami dan anak-anak dahulu ke tempat selamat.

"Tahun ini sahaja sudah lima kali rumah kami dinaiki air sejak musim Monsun Timur Laut. Rasa dah tidak ada air mata nak menangis. Hanya mampu berdoa supaya Allah murahkan rezeki untuk makan pakai kami anak-beranak," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!