Kembara solo 22 negara kumpul dana perubatan untuk pesakit kanser
ISKANDAR PUTERI - Seorang pejuang kanser payudara tahap empat, bakal mengembara secara solo ke 22 negara dalam usaha untuk mengumpul dana bantuan perubatan pesakit kanser.
Sarlinawati Abdul Mues, 48, berkata, kembara yang dilakukan dengan kerjasama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) itu akan menggunakan motosikal skuter WM ES250i yang bermula dari Kuala Lumpur pada April tahun depan dan dijangka berakhir di Arab Saudi pada Ogos.
''Dalam kembara ini, jika berpeluang saya juga akan melawat ibu pejabat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Geneva serta pusat-pusat kanser di negara yang bakal dilawati.
''Sasaran saya hendak kumpul sebanyak mana dana yang boleh untuk membantu pesakit kanser yang memerlukan bantuan bagi menjalani rawatan... sumbangan boleh disalurkan menerusi NCSM,'' katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Pusat Sokongan Kanser NCSM, di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Liew Chin Tong dan Pengarah Urusan NCSM, Prof Madya Dr M Murallitharan.
Sarlinawati yang disahkan menghidap kanser payudara tahap empat pada 2021 telah melakukan kembara motosikal secara solo mengelilingi Semenanjung Malaysia bagi mengumpul dana untuk Projek Bra Prostesis dan Mastektomi anjuran Cancer Survivor Malaysia (CSM) tahun lepas.
Justeru, beliau berharap agar usahanya untuk mengembara ke 22 negara dapat meringankan beban pesakit kanser di negara ini.
''Saya lihat dengan hobi bawa motosikal dan pengalaman kembara solo pertama tahun lepas selama hampir 22 hari, telah memberi banyak inspirasi.
''Apabila saya menunggang, ia seolah-olah kita meneruskan kehidupan, seperti pesakit kanser yang perlu meneruskan kehidupan walau apa keadaan sekalipun, begitu juga apabila saya bawa motosikal dan mulakan kembara... apa sahaja halangan di depan, saya kena teruskan,'' katanya.
Sementara itu, mengenai Pusat Sokongan Kanser, Murallitharan berkata, pusat berkenaan yang terletak di Taman Nusantara Prima ialah yang pertama dibina di Johor dan dijangka beroperasi pada Mac tahun depan.
Beliau berkata, pusat itu antaranya menawarkan perkhidmatan saringan dan pengesanan awal kanser serta turut menempatkan pakar-pakar termasuk dalam bidang psikologi, diet, kaunseling serta pembimbing rakan sebaya.
''Selain Pusat Sokongan Kanser, kita juga akan menyediakan klinik bergerak yang menawarkan saringan kanser secara percuma kepada orang ramai di negeri ini,'' katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!