Polis tahan tiga lelaki, rampas dadah bernilai RM44,200
BERA - Polis Bera menahan tiga lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM44,200 di hadapan sebuah pasar raya dekat Triang di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, ketiga-tiga suspek berusia 29, 50, dan 51 tahun masing-masing memiliki rekod lampau berkaitan dadah.
Menurutnya, kesemua suspek ditahan hasil serbuan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera kira-kira jam 6.30 petang.
"Hasil pemeriksaan terhadap ketiga-tiga suspek, telah menjumpai dadah jenis heroin seberat 1379.81 gram dan dadah jenis syabu, 26.60 gram.
"Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan seorang suspek positif dadah jenis morphine," katanya dalam kenyataan pada Sabtu
Ujarnya, nilai rampasan dadah iaitu heroin RM39,000 dan syabu RM5,200.
Jelas beliau, hasil semakan, suspek pertama berusia 29 tahun memiliki satu rekod lampau manakala suspek kedua berusia 50 tahun mempunyai dua rekod dan suspek ketiga berusia 51 tahun memiliki 17 rekod lampau.
Katanya, turut dirampas enam telefon bimbit pelbagai jenis, dua kad dan satu salinan resit tambah nilai Touch N Go, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70, alat kawalan jauh serta kunci dan sijil pemilikan kenderaan.
"Ketiga-tiga suspek telah direman selama tujuh hari dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"IPD Bera akan terus mempertingkatkan operasi serta tangkapan bagi membendung kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah ini," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!