Yoon Suk Yeol ikrar lakukan yang terbaik untuk Korea 'hingga ke penamat'

Parlimen pada Sabtu meluluskan usul pemecatan terhadap Presiden Yoon Suk Yeol berikutan pelaksanaan undang-undang tentera yang gagal. Foto fail YNA/dpa
Parlimen pada Sabtu meluluskan usul pemecatan terhadap Presiden Yoon Suk Yeol berikutan pelaksanaan undang-undang tentera yang gagal. Foto fail YNA/dpa
A
A
A

SEOUL - Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol berikrar akan terus melakukan yang terbaik untuk negaranya 'hingga ke penamat' selepas Parlimen meluluskan usul pemecatan terhadapnya pada Sabtu berikutan pelaksanaan undang-undang tentera yang gagal.

Suk Yeol membuat janji itu ketika berdepan penggantungan tugas selepas Parlimen mengundi untuk mendakwa beliau.

"Walaupun perjalanan saya terhenti buat sementara waktu, perjuangan saya untuk masa depan bersama rakyat sepanjang dua setengah tahun lepas tidak sepatutnya berakhir," kata Suk Yeol dalam satu ucapan awam yang dirakam di kediamannya, menurut agensi berita Yonhap.

"Saya akan membawa bersama saya segala kritikan, dorongan, dan sokongan yang telah saya terima, dan saya akan berusaha sebaik mungkin untuk negara sehingga ke penamat," katanya.

Suk Yeol turut menyeru penjawat awam agar kekal tabah menjalankan tugas di bawah pimpinan Perdana Menteri Han Duck-soo, yang bakal bertindak sebagai pemangku Presiden.

Beliau juga menggesa komuniti politik untuk mengelak daripada amalan politik yang 'melulu dan bersifat konfrontasi' serta berusaha meningkatkan budaya politik negara. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!