'Chelsea bukan calon juara'
CHELSEA disebut-sebut sebagai calon juara Liga Perdana Inggeris (EPL), susulan persembahan mantap sejak kebelakangan ini.
The Blues mengikuti rapat pendahulu Liverpool dan muncul sebagai pasukan paling berbahaya di depan gawang apabila mengumpul 35 gol dan hanya bolos 18 kali selepas mengharungi 15 perlawanan.
Pun begitu, pengendali Chelsea, Enzo Maresca tidak bersetuju dengan tanggapan tersebut kerana merasakan pasukannya dibarisi pemain muda yang memerlukan masa untuk berkembang sebagai sebuah unit kompak dan mantap.
“Kami belum bersedia ke arah itu (calon juara) kerana kami sendiri merasakan bahawa Chelsea belum layak bergelar juara.
“Saya tidak mahu memikirkannya. Apa yang penting kami perlu meraih kemenangan demi kemenangan.
“Jika saya atau pemain kerap memikirkannya, maka itu adalah petanda kepada kejatuhan kelab ini,” ujar Maresca.
Chelsea akan melayan kunjungan Brentford di Stamford Bridge pada awal pagi Isnin dan satu lagi kemenangan akan memastikan kelab London itu terus menghuni kelompok tiga teratas EPL sekali gus memberi tekanan kepada Liverpool dan Arsenal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!