Sanggup berpanas, berhujan demi cari rezeki halal
KUALA LUMPUR - Alah bisa tegal biasa. Itu perumpamaan tepat bagi seorang anak muda yang gigih mencari rezeki yang halal meskipun terpaksa berhujan panas di tepi jalan.
Muhammad Yusof Mohd Nor, 29, yang menjalankan perkhidmatan menukar minyak hitam motosikal secara sepenuh masa sejak lima tahun yang lalu menyifatkan hidup yang dicorakkan itu cukup membahagiakan dirinya.
Dia yang sering membuat ‘live’ di TikTok menggunakan akaun ‘Minyak Hitam Jalanan’ mengakui pekerjaan yang dibuat sekadar suka-suka pada mulanya akhirnya menjadi rezeki bukan sahaja kepada dirinya tetapi juga kepada orang.
“Alhamdulillah, saya dah ada seorang pembantu tetap bersama empat orang rakan.
“Setiap hari saya akan menjalankan perkhidmatan menukar minyak hitam, cuci rantai di stesen MRT Kota Damansara, Tasik berhampiran IKEA, Mutiara Damansara ataupun di hadapan Medan Mara, Kuala Lumpur,” katanya kepada Sinar Harian Sabtu.
Ketika temubual ini dijalankan, anak kelahiran Teluk Intan itu baru sahaja menyambut hari kelahirannya ke-29 yang diraikan bersama isteri, Maisarah Zainal, 28, serta dua orang anaknya, Dania Alisa, 6, dan Muhammad Danial, 4, di tepi jalan.
Mungkin agak janggal bagi sesetengah orang menyambut hari lahir di tepi jalan, namun bagi Muhammad Yusof itulah perjalanan hidupnya.
“Ada orang bahagia makan di restoran, sambut hari lahir di tempat mewah tapi saya bahagia dengan kerja yang saya buat,” katanya.
Tambahnya, meskipun banyak kali ditipu pelanggan yang enggan membayar perkhidmatannya, dia reda dan mengganggap kerja dilakukan memberi peluang untuknya mengumpul amalan.
“Bila saya terima panggilan motosikal pancit, rosak dan sebagainya saya cuba bantu mana yang termampu. Kalau ikutkan malam harga perkhidmatan dua kali ganda.
"Contoh kalau siang harga tiub siap upah pasang RM15, bila tengah malam hingga awal pagi harga itu boleh mencecah sehingga RM30,” katanya yang beroperasi di sekitar Lembah Klang.
Dia akui ada juga yang marah-marah sebab harga barang dan upah yang dikenakan mahal.
“Sebab itu setiap kali dapat panggilan tepi jalan saya dah niat dalam hati nak sedekah,” ujarnya.
Muhammad Yusof berkata, melalui perniagaan itu juga, dia dapat kawan baharu dan mengenali perangai serta sikap sebenar kawan-kawan.
“Masa saya susah nak mulakan perkhidmatan ini dahulu ramai kawan-kawan yang datang menyokong, mereka tahu perjalanan hidup kita macam mana,” katanya.
Mengulas lanjut perancangan kerjayanya pada masa akan datang, Muhammad Yusof berharap dapat mendoakan diri meneruskan impiannya menjalankan perkhidmatan seperti itu pada skala besar.
“Insya-ALLAH, hasil sokongan semua, doakan saya dapat melangkah ke satu tahap lebih baik dan dapat membantu mereka yang memerlukan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!