Penceramah kontroversi Indonesia

Gus Miftah
Gus Miftah
A
A
A

JAKARTA - Di Indonesia terdapat banyak tokoh agamawan atau lebih mudah disapa ustaz yang sering muncul dalam rancangan keagamaan di televisyen atau media sosial seperti YouTube, Facebook, TikTok dan sebagainya.

Bahkan, segelintir mereka sangat terkenal kerana bijak menyantuni orang ramai dengan ilmu-ilmu keagamaan dan diselang-selikan dengan unsur jenaka semasa mengadakan ceramah mereka.

Bagaimanapun, di sebalik kecoletahan menyampaikan ilmu agama, segelintir daripada mereka dilihat melampaui batas sehingga memperlekehkan orang lain atau menjadikan sesuatu subjek sebagai bahan ketawa sehingga mengundang kemarahan orang ramai.

Berikut adalah beberapa penceramah dan pendakwah Indonesia yang pernah terlibat dalam kontroversi.

1. Gus Miftah

Gus Miftah atau nama sebenarnya Miftah Maulana Habiburrohman merupakan penceramah cukup terkenal di Indonesia kerana berani mengambil pendekatan berceramah di kelab malam atau disko dengan alasan untuk mendekati golongan yang jarang hadir ke majlis ilmu.

Namun begitu, pendekatan Gus Miftah mendapat tentangan orang ramai yang menyatakan kaedah itu tidak sesuai dibawa ke tempat 'kotor' atau 'maksiat' kerana ia akan memberikan tanggapan buruk kepada agama Islam.

Kontroversi terbaharu ustaz yang kini berusia 43 tahun meletus apabila beliau didakwa menghina seorang penjual air minuman semasa ceramahnya di Magelang, Jawa Tengah menjadi tular di media sosial dan menyebabkannya meletak jawatan sebagai Utusan Khas Presiden bagi Keharmonian Agama dan Pembangunan Fasiliti Keagamaan di bawah pentadbiran Presiden, Prabowo Subianto.

Artikel Berkaitan:

Habib Bahar bin Smith
Habib Bahar bin Smith

2. Habib Bahar bin Smith

Nama ustaz muda ini semakin popular kerana khutbahnya sangat tegas dan keras dalam menentang kemungkaran dan kemaksiatan.

Nama sebenar Sayid Bahar bin Ali bin Smith, 38, atau lebih dikenali sebagai Habib Bahar bin Smith, terkenal sebagai ustaz muda yang menyampaikan khutbahnya dengan penuh bersemangat. Beberapa ceramah beliau boleh dilihat di saluran YouTube

Bagaimanapun beberapa ceramahnya pernah mencetuskan kontroversi seperti dakwaan menghina bekas Presiden, Joko Widodo dengan kata-kata yang tidak sopan dalam ceramahnya serta mengaitkan parti politik tertentu dengan komunisme tanpa bukti yang jelas.

Ning Umi Laila
Ning Umi Laila

3. Ning Umi Laila

Nama Umi Laila dikenali sebagai pendakwah muda yang memiliki gaya menarik dalam menyampaikan dakwahnya sama ada secara langsung atau di YouTube. Selain itu, beliau juga memiliki suara yang merdu dan sering menyelitkan selawat dalam dakwahnya.

Penceramah berusia 24 tahun dan lahir di Surabaya pernah mencetuskan berapa kontroversi seperti sering menyebut nama penyanyi dangdut terkenal Rhoma Irama dalam ceramahnya yang dianggap tidak beretika serta mengaitkannya dengan penggunaan dadah.

Panji Gumilang
Panji Gumilang

4. Panji Gumilang

Nama Abdussalam Rasyidi Panji Gumilang yang dilahirkan pada 30 Julai 1946 adalah seorang pendidik yang merupakan pengasas Pondok Pesantren Al-Zaytun.

Sebagai pemimpin Al-Zaytun, beliau terlibat dalam kontroversi seperti mengadakan solat Aidilfitri dengan saf lelaki dan wanita yang bercampur, membenarkan individu bukan Islam menyertai solat dengan alasan 'perpaduan agama'.

Majlis Ulama Indonesia (MUI) penah menggesa pihak berkuasa menahan Panji Gumilang dengan segera kerana didakwa menyebarkan ajaran sesat. Dalam ceramahya, Panji Gumilang menyatakan al-Quran bukanlah kalam ALLAH tetapi kalam Nabi Muhammad SAW.

Guru Gembul
Guru Gembul

5. Guru Gembul

Guru Gembul, seorang pencipta kandungan di media sosial seperti YouTube dan X yang kerap menyampaikan pandangannya tentang Islam.

Baru-baru ini, nama Guru Gembul menjadi perbincangan hangat di X selepas video debatnya dengan Ustaz Muhammad Nuruddin pada 9 Oktober lalu telah menjadi tular.

Dalam perdebatan tersebut, Ustaz Nuruddin menyebut Guru Gembul tidak menyertakan sebarang fakta yang kuat dan tanpa membuat rujukan sebarang kitab atau sebagainya.

Guru Gembul juga menjadi sasaran kritikan dalam buku yang ditulisnya bertajuk '50 Muslim Paling Berpengaruh dalam Sejarah Peradaban Islam - Sejarah Islam yang Disembunyikan'.

Sejumlah netizen menyuarakan kekecewaan mereka kerana buku tersebut dianggap tidak memiliki rujukan yang jelas. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!