Makan malam amal TMESA catat kutipan lebih RM500,000
KUALA LUMPUR - Majlis makan malam amal Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tengku Mahmud Besut Terengganu (TMESA), Night of Love And Compassion berjaya mengutip dana lebih setengah juta ringgit daripada penderma sehingga Sabtu.
Presiden TMESA, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, program yang menampilkan persembahan penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabudin itu berjaya menjual sebanyak 83 meja makan malam.
Menurutnya, kejayaan tersebut membuktikan bahawa sambutan orang ramai terhadap majlis yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) itu amat memberangsangkan.
"Petang tadi (Sabtu) pun ada orang yang mahu tempah meja untuk melihat persembahan majlis tersebut.
"Kita kata tidak boleh (kerana sudah penuh) tetapi kalau mahu, boleh ambil ruangan galeri di atas pentas. Akhirnya mereka setuju untuk beli tempat di galeri itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Makan Malam Amal TMESA ‘Night of Love and Compassion’ di WTCKL pada Sabtu.
Mengulas mengenai makan amal berkenaan, Muhammad Nasir memberitahu, program tersebut dijadikan sebagai platform untuk ahli dan orang ramai menderma demi menjaga kebajikan pelajar yang memerlukan.
“Bukan itu sahaja, makan malam ini juga bertujuan untuk menyebarkan kasih sayang ini kepada mereka (pelajar) yang memerlukan bantuan terutamanya anak yatim dan orang miskin.
“Sehubungan itu, saya juga ingin menzahirkan rasa bangga dengan perkara kita berjaya capai khususnya hal yang dilakukan oleh ahli jawatan kuasa (AJK) TMESA,” ujarnya.
Sementara itu, Muhammad Nasir turut berkongsi bahawa kedaifan yang membelenggu pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud menjadi asbab program amal jariah sedemikian diteruskan.
Tambahnya, bantuan berkenaan diberikan menerusi Program Penajaan Seorang Pelajar (SAS).
“Program ini kita jalankan dengan memberi tajaan kepada pelajar Tingkatan Dua hingga Lima yang menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Setiap tahun, kami (TMESA) taja pelajar-pelajar ini dengan belanja sekitar RM1,500 dan wang ini diberi untuk mereka (pelajar) gunakan untuk perbelanjaan sekolah, beli baju sekolah dan kelengkapan lain.
“Kita pergi ke sekolah untuk buat penilaian pelajar yang layak untuk terima bantuan. Dapat dilihat, keadaan mereka sangat daif, ada yang makan tiga kali seminggu sahaja,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!