'Dia terkapai-kapai sebelum tenggelam'

Gambar Muhd Naufal Arshad (kanan) bersama keluarganya. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Gambar Muhd Naufal Arshad (kanan) bersama keluarganya. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

BACHOK - “Dia terkapai-kapai, saya cuba nak selamatkan tapi akhirnya dia tenggelam.”

Itu kata seorang ibu yang menyaksikan sendiri tragedi menyayat hati membabitkan anak lelakinya, Muhd Naufal Arshad Muhd Aiman Hafiz, 8, yang dikhuatiri lemas di Pantai Kandis di sini pada Sabtu.

Suri rumah itu, Siti Nur Shahidah Muhammad, 33, berkata, dia bersama empat anaknya berusia empat hingga 10 tahun dan dua anak jirannya (sembilan dan 10 tahun) tiba di pantai berkenaan untuk bersiar-siar pada jam 6.20 petang.

Siti Nur Shahidah. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.
Siti Nur Shahidah. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.

Menurutnya, ketika hendak mengajak pulang ke rumah sekitar jam 6.40 petang, anak sulung perempuannya pergi ke arah benteng batu dan naik ke atas benteng di pantai tersebut.

“Kami semua termasuk Muhd Naufal Arshad ikut sekali duduk di atas benteng batu itu.

“Muhd Naufal Arshad tiba-tiba mahu turun ke dalam air namun dilarang kakaknya tetapi secara tiba-tiba dia turun menyebabkannya terkapai-kapai hampir lemas,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Huzaimy (kiri) yang bertemu dengan Siti Nur Shahidah di Pantai Kandis, Bachok. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Huzaimy (kiri) yang bertemu dengan Siti Nur Shahidah di Pantai Kandis, Bachok. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

Cemas dengan situasi itu, Siti Nur Shahidah cuba untuk membantu dengan mencapai dan menghulurkan dahan pokok kepada mangsa tetapi anaknya itu tidak dapat mencapainya kerana hempasan ombak yang kuat.

Mangsa dilihat semakin jauh menyebabkan wanita itu nekad turun ke dalam air untuk sekali lagi cuba menyelamatkannya namun kedalaman paras air beserta keadaan ombak menyebabkan dia gagal mencapai tangan Muhd Naufal Arshad.

“Sekali lagi, saya nampak kepala dia mendonggak dengan kedua-dua tangan terkapai-kapai.

Usaha pencarian dilakukan walaupun cuaca hujan. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Usaha pencarian dilakukan walaupun cuaca hujan. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

“Ombak terus kuat dan dia yang tidak pandai berenang kemudiannya tenggelam,” kata wanita yang tinggal di Kampung Nenasi di sini.

Dalam pada itu, Siti Nur Shahidah dan anak-anaknya kini ditumpangkan sementara oleh pemilik di inap desa berdekatan pantai itu sementara usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilakukan oleh pihak bomba.

Katanya, Muhd Naufal Arshad seorang yang berperwatakan ceria dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Beris Lalang.

Ketika kejadian, bapa mangsa, Mohd Aiman Hafiz Che Awang, 34, tidak berada bersama mereka kerana bekerja di Kota Bharu.

Mangsa masih belum ditemukan dan SAR diteruskan pasukan bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.
Mangsa masih belum ditemukan dan SAR diteruskan pasukan bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Irama, Mohd Huzaimy Che Husin turut turun padang bertemu keluarga mangsa.

Mangsa masih belum ditemukan dan SAR diteruskan pasukan bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!