PPZ seru lebih ramai tunai zakat
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Mohd Nizam Yahya berkata, persepsi mengenai menyewa kawasan program perumahan rakyat (PPR) hanya untuk golongan miskin manakala kondominium buat kategori kaya sudah tidak relevan kerana kedua-duanya masih boleh dikelaskan sebagai miskin relatif.
Justeru, menurut beliau, menjadi keutamaan MAIWP untuk membantu lebih 33,000 ketua keluarga di sekitar Kuala Lumpur setiap bulan agar kumpulan sasar mampu meneruskan kehidupan sekali gus berusaha keluar daripada kepompong kemiskinan menerusi bantuan zakat dan 38 insentif lain yang disediakan.
Jelasnya, peruntukan berjumlah RM1.67 bilion untuk tahun 2025 juga diluluskan bagi membolehkan pihak MAIWP menyantuni golongan miskin bandar.
“Sehingga Oktober tahun ini, kami membelanjakan sekitar RM906 juta demi memberikan bantuan terbaik kepada golongan memerlukan di Wilayah Persekutuan. Bukan itu sahaja, Bajet 2025 MAIWP juga lulus sebanyak RM1.67 bilion bertemakan ‘Melestari Ummah, Wilayah Sejahtera’.
“Memang mengalahkan bajet kerajaan negeri, sedangkan MAIWP hanya agensi kecil di Kuala Lumpur. Sebanyak 80 peratus daripadanya diagihkan kepada golongan memerlukan melalui 38 skim bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika program CEO Talk: Realiti Miskin Bandar yang disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian, bertempat di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Jumaat.
Program yang dihoskan oleh Ismail Adnan itu turut dibarisi seorang lagi panelis hebat ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP), Datuk Abdul Hakim Amir Osman.
Ditanya mengenai perbezaan penerima zakat di tiga wilayah persekutuan, Mohd Nizam memaklumkan, masing-masing tidak sama dari segi taraf hidup, kos sara diri, corak pemikiran dan usaha untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.
Bagaimanapun, katanya, mereka wajib disantuni dan diberi sepenuh perhatian meskipun ada antaranya yang pernah hidup senang, tiba-tiba diuji dengan masalah kesihatan, kehilangan pekerjaan, rumah dan tempat mengadu nasib.
Beliau berpandangan, MAIWP tidak boleh melihat kesusahan dialami miskin bandar dari satu aspek semata-mata waima segelintir daripadanya tinggal di dalam rumah besar, sebaliknya secara komprehensif kepada kepelbagaian kerana kehidupan golongan terbabit di bandar besar sangat mencabar.
“Katakanlah kita buat perbandingan di kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan. Taraf hidup, corak pemikiran dan usaha untuk mereka keluar daripada kepompong kemiskinan berbeza-beza.
“Jadi, kita memberikan bantuan selepas mengambil kira had kifayah untuk mereka meneruskan kehidupan yang agak selesa dan memenuhi segala keperluan bukan mengikut kehendak. Pertolongan ini bukan menjadikan mereka kaya.
“Itulah sebabnya MAIWP bukan sekadar memberi ‘ikan’, kita juga beri ‘mata kail’ dan ‘jurulatih’ tentang bagaimana mahu menggunakannya,”ujar beliau.
Kaedah terbaik
Sementara itu, Abdul Hakim berkata, sistem profiling pembayar zakat amat penting kerana ia melicinkan gerak kerja pengurusan.
Namun demikian, ada antaranya gemar membayar zakat tanpa melalui amil atau agensi kerajaan negeri sedangkan Fatwa Muzakkarah Kebangsaan kali ke-76 menjelaskan bahawa hukumnya sah sekiranya diagihkan kepada asnaf tetapi berdosa.
“Mengapa berdosa? Ia kerana golongan sebegini tidak mematuhi arahan ulul’ amri. Jadi, perbuatan kita yang tidak patuh kepadanya dikira berdosa. Saya nasihatkan bayar mengikut cara sebenar.
“Mereka yang membayar kepada agensi akan mendapat resit zakat rasmi dan boleh menggunakannya untuk tuntut rebat cukai pendapatan,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Hakim berkata, pihaknya turut memikirkan kaedah terbaik untuk menambah jumlah kutipan zakat selain menggunakan media sosial sebagai platform pemasaran.
Bukan itu sahaja, PPZ-MAIWP juga dikatakan sedang meneroka sumber baharu kekayaan masyarakat Islam menerusi pendapatan mata wang digital kerana berdasarkan data terkumpul, konteks pemilikan modal pasaran sekitar 60 peratus bersamaan RM600 juta.
“Untuk makluman, jumlah kutipan zakat sehingga pagi Jumaat sebanyak RM868 juta dan agihan MAIWP RM995 juta, defisit sekitar RM90 juta. Ini belum cukup untuk menyantuni keperluan asnaf yang ada di Wilayah Persekutuan.
“Ia disebabkan garis kemiskinan bagi miskin tegar seluruh Malaysia sebanyak RM1,198 sebulan, miskin RM2,589, namun tahap kecukupan pendapatan di Wilayah Persekutuan kira-kira RM4,400. Jadi, kita perlu kutip lebih banyak duit zakat.
“Sebab itulah PPZ sedang merangka satu platform baharu bagi memudahkan pemain wang kripto menunaikan zakat. Ini peluang yang baik supaya kita dapat memenuhi keperluan asnaf dan miskin bandar,” jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!