Ahli perniagaan China didakwa pengintip dijemput ke Istana Buckingham

Putera Andrew dilaporkan mengenali individu itu melalui 'saluran rasmi' dan 'tiada perkara sensitif pernah dibincangkan'. Foto Reuters
Putera Andrew dilaporkan mengenali individu itu melalui 'saluran rasmi' dan 'tiada perkara sensitif pernah dibincangkan'. Foto Reuters
A
A
A

LONDON - Seorang ahli perniagaan yang didakwa sebagai pengintip China dilaporkan dijemput ke Istana Buckingham oleh Duke of York, menurut laporan agensi berita Jerman, dpa.

Lelaki itu, yang dihalang memasuki Britain atas alasan keselamatan negara, dilaporkan telah melawat Istana Buckingham sebanyak dua kali, selain memasuki Istana St James dan Istana Windsor atas jemputan Putera Andrew, lapor akhbar The Times.

Pada Jumaat, Duke of York berkata beliau telah 'menghentikan semua hubungan' dengan ahli perniagaan terbabit apabila kebimbangan terhadap lelaki itu mula timbul.

Putera Andrew dilaporkan mengenali individu itu melalui 'saluran rasmi' dan tiada perkara sensitif pernah dibincangkan," menurut kenyataan daripada pejabatnya.

Ahli perniagaan itu telah membawa kesnya ke Suruhanjaya Rayuan Imigresen Khas (SIAC) selepas bekas Setiausaha Dalam negeri, Suella Braverman, memutuskan agar individu itu dilarang memasuki United Kingdom pada Mac 2023.

Beberapa akhbar melaporkan Raja Charles telah diberi taklimat mengenai kaitan adindanya dengan individu yang didakwa sebagai pengintip China itu.

Braverman meminta agar identiti lelaki itu -- yang hanya dikenali sebagai H6 -- didedahkan, lapor The Telegraph, sebagai langkah pencegahan terhadap pihak lain yang mungkin terlibat dalam aktiviti serupa.

Dalam taklimat kepada setiausaha dalam negeri pada Julai 2023, pegawai mendakwa, H6 berada dalam kedudukan untuk membina hubungan antara tokoh terkenal UK dan pegawai kanan China, yang berpotensi dimanipulasi untuk tujuan campur tangan politik.

Artikel Berkaitan:

Dalam satu pendengaran pada Julai lepas, tribunal khas itu mendengar bahawa ahli perniagaan itu diberitahu oleh seorang penasihat kepada Putera Andrew bahawa dia boleh bertindak bagi pihak Duke dalam urusan dengan pelabur berpotensi di China. H6 juga dikatakan diundang ke majlis ulang tahun Putera Andrew pada 2020.

Sepucuk surat berkaitan jemputan majlis ulang tahun itu daripada penasihat bernama Dominic Hampshire ditemui dalam peranti H6 ketika dia ditahan di sebuah pelabuhan pada November 2021.

Dalam keputusan pada Khamis, Hakim Bourne, Hakim, Stephen Smith dan Sir Stewart Eldon menolak cabaran yang dikemukakan oleh H6.

Sebelum itu keluarga diraja dilaporkan mengambil langkah lanjut pada musim panas lepas untuk menjauhkan diri daripada Duke of York, termasuk tindakan Raja Charles yang dikatakan memotong elaun tahunan £1 juta (AS$1.3 juta) dan menghentikan pembiayaan peribadi untuk keselamatan kediaman Putera Andrew.

Profesor Rana Mitter, Profesor ST Lee Hubungan AS-Asia di Harvard Kennedy School dan pakar politik China, memberitahu BBC bahawa strategi pengintipan China sering mencari individu yang mungkin 'berpengaruh dalam jangka panjang' tetapi sedang melalui 'zaman kejatuhan'.

Beliau berkata, situasi membabitkan Duke of York dan H6 bukan mengenai pengintipan dalam bentuk mendapatkan rahsia tetapi lebih kepada untuk mempengaruh'.

"Menjalin hubungan dengan golongan elit di negara seperti Britain adalah langkah berguna bukan untuk maklumat segera tetapi untuk pembangunan hubungan jangka panjang dalam masyarakat. Nampaknya inilah yang berlaku di sini.

"Contoh terbaik daripada generasi sebelumnya ialah Presiden Richard Nixon, yang kerap diundang ke China selepas terpaksa meletak jawatan kerana skandal Watergate," kata Mitter. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!