Dulu parti kerajaan PN pun sibuk nak 'curi' ahli UMNO - Akmal Saleh
SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyelar tindakan ‘kawan’ dalam kerajaan yang sedang cuba menarik seorang ahli untuk keluar daripada partinya.
Justeru, beliau berkata, sudah tiba masanya hubungan parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan dikaji semula.
Menurutnya, ia bukan pertama kali berlaku memandangkan UMNO pernah berdepan situasi sama sewaktu pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) suatu ketika dahulu.
“Jika ada ‘kawan’ dalam kerajaan sendiri yang tidak mampu nak hormat UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan nak ambil ahli parti ‘kawan’ sendiri, maka sepatutnya kita kaji semula hubungan ini.
“Dahulu masa kerajaan Perikatan Nasional, ada juga parti kerajaan sibuk nak curi ahli UMNO, kali ini jika berlaku maka pendirian kita perlu tegas.
“UMNO bukan parti yang boleh ditendang sana sini, kita ada maruah kita,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan terdapat desas-desus mengatakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Difahamkan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu turut dikaitkan dengan spekulasi bakal menerajui Selangor menggantikan Datuk Seri Amirudin Shari yang akan ke Kabinet.
Bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada Tengku Zafrul meninggalkan parti terbabit untuk menyertai PKR.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!