Sistem audit kendalikan wang wakaf
SHAH ALAM - Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menggunakan sistem audit yang rapi dalam mengendalikan aliran wang wakaf agar pembahagian dilakukan dengan sistematik dan telus.
Penolong Pengurus Unit Dakwah dan Produk Wakaf PPZ-MAIWP, Dziyaulhak Hashim berkata, pihaknya bukan sahaja melakukan audit dalaman tetapi turut melibatkan juruaudit negara dan daripada MAIWP.
"Apabila masyarakat mahu berwakaf, mereka mahu melihat ke mana wang disalurkan. Alhamdulillah, di PPZ-MAIWP pengurusan kita sistematik kerana bukan sahaja ada audit dalaman bahkan melibatkan pihak MAIWP sendiri untuk proses pembahagian," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar siri 469 bertajuk 'Kenapa Wakaf Kurang Popular?' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Jumaat.
Program yang dihoskan oleh Mohamad Amiro Safwan itu turut menampilkan pendakwah bebas, Zulkifli Ahmad dan qari Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis), Muhamad Firdaus Hairi sebagai panel.
Mengulas lanjut, Dziyaulhak berkata, sasaran utama PPZ-MAIWP adalah memberikan sebanyak mungkin manfaat kepada ummah dan wakaf merupakan pemacu ekonomi umat Islam.
"Sekarang kita memfokuskan Pertis dan mereka menyasarkan RM5.75 juta. Kini kita hanya ada RM273,000 sahaja.
"Jika kita berganding bahu, Insya-ALLAH, mudah-mudahan kita dapat bersama dalam usaha membangunkan ummah menerusi kaedah wakaf, semoga ALLAH SWT memberkati kita," ujarnya.
Menurutnya, pihak PPZ-MAIWP sentiasa berusaha untuk memberi kesedaran kepada ummah menerusi dakwah yang dilakukan setiap hari sama ada secara fizikal atau dalam talian.
Pada masa sama, katanya, PPZ-MAIWP merupakan satu-satunya organisasi di Kuala Lumpur yang mendapat hak untuk pemberian potongan cukai sebanyak 10 peratus kepada individu atau syarikat berwakaf.
“Kita mengajak pihak luar sana yang masih bertanya kelebihan berwakaf, kita mempunyai potongan cukai berdasarkan Subseksyen 44 (11) D Akta Cukai Pendapatan 1967.
"Jadi, syarikat di luar sana boleh buat potongan wakaf sama seperti program tanggungjawab sosial korporat yang turut mendapat pengecualian cukai 10 peratus,” katanya.
Wakaf bantu tingkatkan milikan tanah, kukuh ekonomi umat Islam
SHAH ALAM - Konsep wakaf dapat membantu meningkatkan milikan tanah terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang serta memperkukuhkan ekonomi umat Islam secara keseluruhannya.
Pendakwah bebas, Zulkifli Ahmad atau lebih dikenali sebagai Ustaz Zul Pandan berkata, keuntungan dari penyewaan bangunan di atas tanah wakaf mampu menggerakkan ekonomi umat Islam berikutan prinsipnya yang hanya boleh dipajak untuk tempoh tertentu.
“Satu contoh kejayaan wakaf melibatkan tanah ini dapat dilihat di Kuala Lumpur iaitu wakaf tanah diserahkan Ahmad Dawjee Dadabhoy kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebagai pemegang amanah.
“Lembaga Tabung Haji (TH) kemudian menyediakan dana untuk pembinaan bangunan dan Bank Islam menjadi penyewa utama bangunan tersebut. Keuntungan sewaan bangunan ini akhirnya dikembalikan kepada TH dan disalurkan kepada MAIWP untuk terus dimanfaatkan umat Islam.
“Tetapi, sekarang ada satu masalah di tengah Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang mana tanah milikan bumiputera dan umat Islam semakin berkurangan dan banyak terlepas. Jadi, antara kaedah untuk kembalikan tanah ini dan tiada siapa boleh beli adalah dengan wakaf,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar siri 469 bertajuk ‘Kenapa Wakaf Kurang Popular?’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Ustaz Zul Pandan berkata, wakaf tidak terhad pemberian berbentuk tanah sahaja, namun ia boleh juga dilakukan dengan wang tunai meskipun hanya RM1 selagi dapat memberi manfaat kepada penerimanya.
Tambah beliau, pahala bagi individu yang berwakaf akan berpanjangan walaupun sehingga dia meninggal dunia.
“Wakaf ini usahanya sekali tetapi manfaatnya berpanjangan dan berturutan. Satu institusi dibangun atas nama wakaf, ia menyebabkan pahala masih mengalir walaupun dia telah meninggal dunia berpuluh tahun.
“Mungkin setengah orang tak ada peluang tersebut tetapi bagi saya harta ini semua orang ada peluang kerana boleh mewakafkan walaupun tidak banyak. Wakaf adalah satu nilai berpanjangan yang harus menjadi keutamaan,” katanya.
Pertis edar al-Quran Braille percuma
SHAH ALAM - Pemberian al-Quran Braille berjaya diedarkan secara percuma kepada golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan Islam menerusi sumbangan wakaf dan dana daripada orang ramai.
Bagaimanapun, qari Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis), Muhamad Firdaus Hairi berkata, pihaknya terpaksa menampung permintaan yang tinggi berikutan al-Quran tersebut mempunyai jangka hayat tertentu bergantung kekerapan penggunaan.
“Al-Quran Braille ada jaminan antara tiga hingga lima tahun bergantung kekerapan penggunaan sebab tulisan braille, lama kelamaan ia akan hilang apabila disentuh banyak kali,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar siri 469 bertajuk ‘Kenapa Wakaf Kurang Popular?’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Muhamad Firdaus berkata, Pertis juga melancarkan pusat dakwah dan memohon bantuan daripada pihak PPZ-MAIWP untuk mencukupkan wakaf atau dana bagi menyediakan bangunan yang mempunyai fasiliti lengkap.
Tambah Muhamad Firdaus, pihaknya berhasrat untuk mewujudkan akademi Pertis iaitu sebuah institusi pendidikan agama yang lengkap khususnya dalam bidang pengajian al-Quran.
“Warga Pertis keseluruhannya yang mempunyai 2,500 ahli yang berdaftar manakala belum berdaftar mungkin lebih ramai,” ulasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!