PTPTN jangka dividen Simpan SSPN 2024 meningkat
SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjangkakan pemberian dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) tahun 2024 kepada pendeposit akan meningkat lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, jangkaan tersebut berdasarkan prestasi semasa hasil pelaburan deposit Simpan SSPN yang bertambah berikutan pengurusan pelaburan strategik serta komitmen PTPTN dalam memastikan pulangan yang kompetitif kepada pendeposit.
"Jika dilihat pada pemberian kadar dividen Simpan SSPN bagi tahun 2023 adalah sebanyak 3.60 peratus, meningkat berbanding 3.05 peratus pada tahun 2022.
“Bagi tahun 2024, saya optimis bahawa pemberian kadar dividen Simpan SSPN dijangka terus naik berbanding tahun 2023 berdasarkan kepada peningkatan keuntungan pelaburan dan trend prestasi deposit Simpan SSPN yang membanggakan setiap tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Norliza memaklumkan, pada 2024 PTPTN merekodkan pulangan pelaburan deposit Simpan SSPN sebanyak RM341.54 juta bagi tempoh Januari sehingga September 2024, sekali gus menyaksikan pencapaian hasil pelaburan yang lebih baik berbanding RM287.64 juta untuk tempoh yang sama tahun 2023.
Menurutnya, peningkatan Kadar Dasar Semalaman kepada 3 peratus pada 3 Mei 2023 sehingga kini telah menggalakkan nilai pertumbuhan pelaburan dan membantu PTPTN memperolehi pulangan pelaburan yang lebih konsisten.
“Peningkatan keuntungan ini disokong oleh strategi pelaburan patuh syariah berjangka pendek dan panjang di pasaran wang tempatan yang melindungi prinsipal, di samping memberikan pulangan yang tinggi dan positif.
“Strategi pengurusan risiko yang berkesan serta pemilihan portfolio pelaburan yang strategik dalam simpanan tetap jangka panjang telah berjaya meningkatkan pulangan pelaburan. Di samping itu, penglibatan pelaburan dalam pasaran sukuk juga membantu dalam peningkatan pulangan pelaburan tersebut,” ujarnya.
Kata beliau, strategi dan usaha terbabit bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk memastikan simpanan dalam Simpan SSPN sentiasa terjamin dan dilindungi serta pada masa yang sama mendapat pulangan optimum selaras dengan mandat pelaburan yang diberikan.
Norliza menegaskan, beliau yakin dengan kecekapan dan keupayaan pengurusan PTPTN yang diterajui Ketua Eksekutifnya, Ahmad Dasuki Abdul Majid mampu menjadikan Simpan SSPN terus menjadi produk simpanan berdaya saing di pasaran dengan pelbagai keistimewaan dan manfaat.
“Justeru itu, saya menyeru kepada ibu bapa untuk membuat simpanan dalam Simpan SSPN sebagai langkah proaktif dalam merancang masa depan pendidikan anak-anak secara berkesan untuk jangka masa panjang selain menikmati kadar dividen Simpan SSPN 2024 yang dijangkakan terus meningkat.
“Kepada masyarakat Malaysia yang telah membuat simpanan dalam Simpan SSPN, saya mengucapkan terima atas komitmen dan usaha yang ditunjukkan dalam membudayakan amalan menabung dengan memilih Simpan SSPN sebagai instrumen tabungan terbaik,” tambahnya lagi.
Norliza berkata, selain kadar dividen kompetitif, pelbagai keistimewaan dan manfaat ditawarkan kepada pendeposit Simpan SSPN antaranya produk simpanan tersebut merupakan satu-satunya yang menawarkan pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih sehingga RM8,000 setahun.
Ujar beliau, pendeposit turut mendapat perlindungan takaful, menikmati Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak serta simpanan juga dijamin kerajaan dan patuh syariah.
“PTPTN akan terus komited meningkatkan kesedaran masyarakat agar terus menabung di dalam Simpan SSPN bagi memastikan akses kepada pendidikan tinggi terjamin sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!