Titah Adendum: 'Kenapa Ka Siong bertindak lebih sudu daripada kuah?'

Hantaran Muhammad Kamil di laman sosial, X pada Ahad. Gambar kanan: Muhammad Kamil
Hantaran Muhammad Kamil di laman sosial, X pada Ahad. Gambar kanan: Muhammad Kamil
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kewujudan Titah Adendum bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seolah-olah tidak menghormati prosiding mahkamah.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, Istana Pahang memilih untuk menghormati sistem perundangan negara dengan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Kenapa Ka Siong perlu bertindak lebih sudu daripada kuah dalam hal ini?

“Kita faham mungkin ini salah satu percubaan Ka Siong untuk terus kekal relevan di mata beberapa pihak.

“Terus menerus mendesak Perdana Menteri (Anwar) meskipun penjelasan panjang lebar telah dibuat,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial X pada Ahad.

Pada 10 Disember lalu, Anwar memberitahu Dewan Rakyat bahawa beliau tidak dapat menjawab soalan itu kerana peraturan Parlimen melarang perbincangan subjudis dan tiada perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Susulan itu, Ka Siong membidas alasan Anwar dan membantah membantah bahawa peraturan subjudis tidak lagi terpakai kerana penghakiman juri telah dimansuhkan daripada sistem perundangan Malaysia.

Menurutnya, keputusan mahkamah dibuat semata-mata oleh hakim profesional dan bukannya juri yang diambil daripada orang ramai.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Muhammad Kamil mempersoal tentang kenyataan Ka Siong berhubung peraturan subjudis telah dimansuhkan.

“Apakah Peguam Negara, Tommy Thomas pada ketika itu telah memansuhkan peraturan berkenaan dan Ka Siong memilih menggunakan pandangan tersebut berbanding peguam negara sekarang untuk menjadi juara dengan mendesak Perdana Menteri untuk terus mengulas hal yang sedang dibicarakan?

“Apakah Ka Siong terlalu terdesak sehingga terpaksa mengolah peraturan perundangan mengikut selera tekak sendiri?” soalnya.

Pada masa sama, beliau turut mendakwa bahawa Ka Siong tidak selantang itu dalam membela Najib ketika bekas Ahli Parlimen Pekan dipenjara sewaktu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri.

Sehubungan itu, Muhammad Kamil menegaskan bahawa Malaysia sebuah negara hukum yang ada proses dan peraturan.

“Justeru hormat proses ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!