‘Perlembagaan parti tidak boleh selamanya statik’ - Saifuddin

Kongres Khas Keadilan yang berlangsung hari ini bakal menyaksikan perubahan dalam perlembagaan parti menjelang pemilihan pada Mei tahun depan. Foto Facebook Saifuddin Nasution Ismail
Kongres Khas Keadilan yang berlangsung hari ini bakal menyaksikan perubahan dalam perlembagaan parti menjelang pemilihan pada Mei tahun depan. Foto Facebook Saifuddin Nasution Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Perlembagaan parti tidak boleh selamanya statik sebaliknya perlu sentiasa responsif terhadap perubahan iklim politik negara.

Bekas Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kongres Khas Keadilan yang berlangsung hari ini bakal menyaksikan perubahan dalam perlembagaan parti menjelang pemilihan pada Mei tahun depan.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pindaan kali ini terarah kepada amalan kepelbagaian gender, etnik dan umur berteraskan prinsip penyertaan demokrasi serta perwakilan berkadar.

“Hari ini berlangsung kongres khas bertujuan meminda perlembagaan parti menjelang pemilihan pada tahun hadapan.

“Umur Keadilan 25 tahun, perlembagaan parti pernah dipinda beberapa kali sebelum ini, antara yang paling signifikan adalah tukar nama kepada Keadilan daripada nama asal Parti Ikatan menggabungkan Keadilan dengan Parti Rakyat Malaysia.

“Selain itu, pindaan untuk pelaksanaan ‘one man one vote’ dalam pemilihan parti.

“Perlembagaan parti sesungguhnya suatu yang dinamik, tidak boleh selamanya statik. Parti mesti responsif terhadap perubahan iklim politik negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh memaklumkan, pindaan itu bakal mengikut prinsip keterlibatan dalam demokrasi yang memberikan hak kepada anggota parti untuk mengundi pemimpin pada sesi pemilihan akan datang.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup memberitahu, langkah berkenaan merupakan hasil perbincangan di peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) mengenai reformasi pemilihan bagi memastikan kredibiliti pemimpin parti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!