NGO sokong cadangan Undang-Undang Good Samaritan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merancang untuk memperkenalkan Undang-undang 'Good Samaritan', yang merupakan perlindungan undang-undang bagi menggalakkan individu membantu orang lain dalam situasi kecemasan tanpa rasa takut akan akibat tindakan undang-undang, seperti disaman kerana kecederaan yang tidak disengajakan semasa membantu.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merancang untuk memperkenalkan Undang-undang 'Good Samaritan', yang merupakan perlindungan undang-undang bagi menggalakkan individu membantu orang lain dalam situasi kecemasan tanpa rasa takut akan akibat tindakan undang-undang, seperti disaman kerana kecederaan yang tidak disengajakan semasa membantu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat menzahirkan sokongan penuh terhadap inisiatif kerajaan untuk memperkenalkan Undang-Undang Good Samaritan, menyifatkan ia sebagai langkah signifikan ke arah memupuk tanggungjawab sivik serta mempromosikan budaya keprihatinan dan kasih sayang di Malaysia.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, cadangan perundangan itu yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad akan memberi perlindungan undang-undang kepada individu yang bertindak dengan niat baik untuk membantu orang lain dalam situasi kecemasan.

"Individu ini yang sering digelar sebagai ‘Good Samaritans' layak mendapat pengiktirafan dan sokongan atas kesediaan mereka memberikan bantuan tanpa rasa takut kepada kesan undang-undang," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada gesaan Dr Dzulkefly supaya undang-undang tersebut diperkenalkan sebelum tamat sesi Parlimen ke-15.

Menurut Dr Dzulkefli, tiada undang-undang seumpama itu wujud di Malaysia bagi melindungi orang awam yang bertindak dengan niat baik untuk membantu menyelamatkan nyawa ketika kecemasan.

Lam Thye mengetengahkan beberapa faedah daripada undang-undang tersebut, menyatakan bahawa ia akan menggalakkan lebih ramai individu tampil membantu mereka dalam kesusahan tanpa teragak-agak.

Beliau berkata, undang-undang sedemikian akan turut menyokong strategi kesihatan awam khususnya dalam kes seperti campur tangan susulan pengambilan bahan berlebihan atau memberikan rawatan kecemasan ketika kemalangan.

Bagaimanapun, Lam Thye berkata, pertimbangan yang teliti perlu diambil ketika merangka dan melaksanakan undang-undang itu bagi memastikan keberkesanannya.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat kemungkinan bahawa ada individu yang menyalahgunakan undang-undang berkenaan bagi mengelak dipertanggungjawabkan untuk kelalaian atau tindakan berbahaya. Garis panduan yang jelas diperlukan untuk mentafkrifkan skop perlindungan dan memastikan undang-undang itu terpakai hanya kepada tindakan dengan niat yang betul-betul murni," katanya.

Beliau turut mengingatkan agar tidak terlalu bergantung kepada individu yang tidak dilatih bagi bantuan kecemasan, menekankan kepentingan kempen pendidikan awam untuk meningkatkan kesedaran mengenai undang-undang itu dan kemahiran tindak balas kecemasan asas.

"Kami menggesa kerajaan untuk melakukan tadbir urus dengan semua pihak berkepentingan termasuk profesional penjagaan kesihatan, pakar perundangan dan organisasi komuniti untuk merangka Undang-Undang Good Samaritan yang menyeluruh dan seimbang," katanya sambil menekankan bahawa inisiatif pendidikan awam wajar dilakukan seiring pengenalan kepada perundangan itu bagi memastikan rakyat memahami hak dan tanggungjawab mereka. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!