Kadar elaun PLKN 3.0 kekal RM8 sehari - Khaled

Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berucap pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Program Kampung Angkat Madani Kementerian Pertahanan di Kampung Baru Pasak pada Ahad. Foto Bernama
Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berucap pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Program Kampung Angkat Madani Kementerian Pertahanan di Kampung Baru Pasak pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

KOTA TINGGI - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pertahanan mengekalkan elaun RM8 sehari kepada peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang akan bermula pada bulan hadapan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, isu elaun tidak wajar dibangkitkan ketika ini, memandangkan PLKN belum lagi bermula.

"Itu setakat hari ini kita kekal (kadar elaun) sebab kita belum lagi (bermula).

"Bila sudah bermula nanti baru bercakap berkenaan kenaikan elaun,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Kampung Angkat Madani di Felda Kampung Baru Pasak di sini, pada Ahad.

Sebelum itu, pada Khamis, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Keselamatan menyentuh mengenai elaun RM8 sehari yang bakal diberikan kepada peserta sepanjang program PLKN 3.0, jawatankuasa berkenaan menganggap jumlah berkenaan sebagai tidak mencukupi.

"Kadar ini terlalu rendah dan terdapat cadangan untuk meningkatkannya kepada RM50 sehari.

"Jawatankuasa mengesyorkan supaya kerajaan mempertimbangkan kenaikan kadar elaun berikutan peningkatan kos sara hidup dan sebagai insentif bagi peserta untuk menyertai program berkenaan," menurut laporan itu lagi.

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan bermula 12 Januari tahun depan membabitkan 200 pelatih lelaki lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Artikel Berkaitan:

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari pada November lalu berkata, ia adalah latihan atau fasa percubaan sebelum diperluaskan ke fasa seterusnya pada Jun tahun depan.

Katanya, latihan itu akan membabitkan tempoh selama dua minggu dan dilaksanakan di Rejimen 515 Askar Wataniah, Kem Transit di Kuala Lumpur.

Media sebelum ini, melaporkan sebanyak 13 kem tentera dikenal pasti sebagai lokasi pelaksanaan PLKN 3.0 antaranya di Kuala Lumpur dan Pahang yang akan digunakan bagi menempatkan peserta terpilih menjelang 2026.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, kementeriannya yakin insiden buli dan provokasi antara peserta PLKN 3.0 mampu dielakkan.

Katanya, ia berikutan tempoh PLKN 3.0 yang berlangsung tidak melebihi dua bulan selain ia dilaksanakan di dalam kem tentera.

"PLKN 3.0 akan dilaksanakan dalam tempoh masa 45 hari sahaja dan berasaskan kepada itu kita akan pastikan insiden buli dan provokasi tidak berlaku apatah lagi ia dibuat dalam kem tentera.

"Berasaskan kepada faktor itu kita percaya soal berkenaan (buli dan provokasi) akan dapat ditangani," katanya.

Setiap parti perlu hormat-menghormati

Setiap parti komponen di dalam Kerajaan Perpaduan perlu menghormati rakan parti dalam gabungan itu agar keharmonian tidak terjejas.

Mohamed Khaled berkata, ini kerana kekuatan Kerajaan Perpaduan merupakan hasil kerjasama semua parti yang terjalin sebelum ini.

"Saya percaya setiap parti dalam kerajaan dalam mana-mana pembentukan sesebuah kerajaan gabungan perlu ada perasaan menghormati parti-parti lain (dalam gabungan sama).

"Ini kerana kita (parti komponen) bekerjasama menubuhkan kerajaan (Perpaduan), jadi mesti ada hormat-menghormati," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desas desus mendakwa Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan menyertai Parti Keadilan Rakyat.

Pada Sabtu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan tiada sebarang permohonan daripada Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk meninggalkan parti itu.

Malah beliau berkata, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu tidak bertemu dengannya untuk menyatakan hasrat tersebut.

Mengulas berkenaan perkara itu, Ahmad Zahid berpandangan, sebaiknya parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan tidak mengambil ahli-ahli parti lain dalam komponen itu.

Pada masa sama katanya, ahli dan pemimpin parti diingatkan untuk mengutamakan kepentingan parti sendiri dan bukan untuk kepentingan peribadi.

Tengku Zafrul pada Ahad dilaporkan akan memberi kenyataan mengenai spekulasi mengaitkan beliau meninggalkan parti itu dan menyertai PKT dalam masa terdekat.

Tengku Zafrul berkata, beliau belum membuat sebarang komen mengenai isu itu termasuk spekulasi mengaitkannya menggantikan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!