Dua lelaki ditahan kes rogol gadis Orang Asli

Polis menahan dua lelaki yang disyaki merogol seorang gadis Orang Asli berusia 15 tahun dikenali menerusi aplikasi cari jodoh di media sosial di Pekan Ringlet, Cameron Highlands. Gambar hiasan
Polis menahan dua lelaki yang disyaki merogol seorang gadis Orang Asli berusia 15 tahun dikenali menerusi aplikasi cari jodoh di media sosial di Pekan Ringlet, Cameron Highlands. Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Polis menahan dua lelaki yang disyaki merogol seorang gadis Orang Asli berusia 15 tahun dikenali menerusi aplikasi cari jodoh di media sosial di Pekan Ringlet, Cameron Highlands.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintenden Azri Ramli berkata, dua suspek warga tempatan berusia 29 dan 33 tahun itu ditahan jam 3.20 pagi pada Sabtu selepas mangsa membuat laporan polis pada Jumaat lepas, pukul 3.47 pagi.

“Siasatan awal polis mendapati mangsa telah berkenalan dengan suspek di aplikasi dating dan telah dibawa suspek dengan menaiki kenderaan Proton Wira untuk 'berjalan-jalan' dan mangsa kemudian telah dibawa ke Kedah," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, mangsa yang dirogol di dalam kereta ditinggalkan di sebuah lorong dan telah diselamatkan oleh orang awam sebelum dibawa ke balai polis.

"Mangsa juga telah dirujuk ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut," katanya.

Kedua-dua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau direman tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

"Pihak polis memandang serius kejadian ini dan menyeru orang ramai agar tidak mengambil sebarang tindakan menyalahi undang-undang serta tidak menimbulkan sebarang spekulasi mengenai insiden tersebut,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!