Anthony Loke beri amaran batalkan subsidi diesel jika naik tambang feri
SHAH ALAM - Kementerian Pengangkutan (MOT) memberi amaran untuk membatalkan pemberian subsidi diesel terhadap pengusaha feri jika meneruskan kenaikan harga tambang khususnya kepada warga tempatan dan pelancong domestik.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya berasa kesal dengan tindakan terburu-buru yang diambil oleh pengusaha feri Langkawi.
"MOT baru mendapat kelulusan prinsip daripada Kementerian Kewangan (MOF) untuk memberi bantuan subsidi diesel kepada pengusaha feri di pulau-pulau utama seluruh negara termasuk Langkawi mulai 1 Januari 2025.
"Saya amat kesal dengan tindakan terburu-buru pengusaha feri Langkawi membuat pengumuman menaikkan kadar tambang feri pada hari ini.
"Adalah lebih baik semua pengusaha menarik balik pengumuman ini serta-merta dan berunding dengan pihak MOT dalam masa terdekat," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Ahad.
Sebelum ini media melaporkan, MOT tidak menolak kemungkinan menyenaraikan operator feri sebagai penerima subsidi diesel bersasar.
Menurut Anthony Loke, tindakan itu bertujuan memperkukuh sektor perkhidmatan berkenaan yang beroperasi pada tahap kerugian.
Ahli Parlimen Seremban itu menjelaskan, rasional cadangan tersebut adalah bagi mengelak penduduk terputus hubungan jika perkhidmatan feri gagal meneruskan operasi kelak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!