Tiada berlaku keretakan dalam PN - Ahmad Samsuri
KUALA TERENGGANU - Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri menjelaskan tindakan meletak jawatan secara mengejut sebagai Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN) seperti yang diumumkan pada Rabu lalu bukan disebabkan keretakan yang berlaku dalam gabungan tersebut.
Ahmad Samsuri menjelaskan peletakan jawatan itu sebagai usaha memperkukuhkan serta memperkuatkan PN supaya menjadi suatu kuasa baharu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
"Tidak berlaku keretakan sebenarnya. Saya boleh sebut macam tu la...tidak berlaku keretakan apa-apa.
"Kita sedang mencari jalan untuk memperkukuhkan PN supaya menjadi suatu muafakat politik yang lebih kuat sebelum menghadapi pilihan raya dalam tempoh dua tahun lagi.
"Saya rasa boleh baca komen di Facebook menerusi petikan dari Kareem Abdul-Jabbar yang dikongsikan. Kalau boleh tafsir, tafsir kat situ la (ulas mengenai peletakan jawatan disebabkan masalah dalaman PN)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Imaratul Ilmi Ke-5 Kolej Al-Quran Terengganu di Taman Tamadun Islam, di sini pada Ahad.
Ketika ditanya mengenai peletakan jawatan itu atas kerelaan sendiri atau disebabkan paksaan daripada mana-mana pihak, Ahmad Samsuri enggan menggulas berhubung perkara tersebut.
"Tiada komen...," jawabnya secara ringkas.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri juga enggan memberi komen berhubung peletakan jawatannya itu didorong oleh isu dan masalah peribadi sebaliknya, beliau menyerahkan kepada kepimpinan parti untuk menyelesaikan perkara tersebut.
"Sebab saya baca tulisan daripada penganalisis politik dan ramai menulis pelbagai ruangan di media sosial, media cetak pun ada. Masing-masing beri perspektif tersendiri.
"Jadi saya rangkumkan semua itu bahawa semuanya usaha untuk memperkukuhkan serta memperkuatkan PN supaya menjadi suatu kuasa baharu dalam menghadap pilihan raya lebih kuat dan mampu menjadi alternatif yang jauh lebih baik dari kerajaan sedia ada," jelas beliau.
Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, tindakan peletakan jawatannya secara mengejut tersebut tidak mempunyai kaitan dengan Parti Maju Sabah (SAPP) yang mengambil keputusan secara rasmi menarik diri daripada gabungan politik PN.
"Itu isu (keputusan SAPP keluar PN) yang berasingan. Tiada kena mengena apa yang berlaku di sabah," ulasnya.
Pada Rabu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, mengesahkan Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas telah mengemukakan peletakan jawatannya sebagai Bendahari Agung PN namun enggan mengulas lanjut perkara itu.
Ahmad Samsuri melepaskan jawatan sebagai Bendahari Agung PN dan pengumuman mengenainya juga dibuat menerusi satu kenyataan ringkas kepada barisan kepimpinan Pas Pusat.
Beliau juga dikatakan telah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada pihak pengurusan PN.
Tindakan Ahmad Samsuri itu mengejutkan banyak pihak dan menyusul selepas mesyuarat tertinggi PN Isnin lalu, mengesahkan jawatankuasanya yang baharu termasuk melantik Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ke jawatan sama bagi PN.
Sebelum ini, beberapa pemimpin PN seperti Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau saling berbalas kenyataan berhubung calon perdana menteri gabungan itu untuk Pilihan Raya Umum Ke-16.
Ahmad Samsuri antara nama yang disebut-sebut sebagai calon berpotensi sebagai perdana menteri dan ia turut dinyatakan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada tahun tahun lepas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!