Unjuran projek pembinaan negara dijangka capai RM200 bilion tahun depan

Ahmad (tiga dari kanan) melihat pameran sempena karnival Kemahiran Kerjaya dan TVET pembinaan di Dewan Jubli Intan Pontian pada Ahad.
Ahmad (tiga dari kanan) melihat pameran sempena karnival Kemahiran Kerjaya dan TVET pembinaan di Dewan Jubli Intan Pontian pada Ahad.
A
A
A

PONTIAN - Sektor pembinaan dijangka mengunjurkan perbelanjaan sebanyak RM200 bilion merangkumi sektor kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan pihak swasta pada tahun hadapan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, unjuran berkenaan termasuk projek pembinaan jalan, lebuh raya, jambatan, membaiki cerun dan bangunan, penyelenggaraan pelbagai kemudahan serta menyambung projek sedia ada.

Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak RM88 bilion adalah bajet daripada kerajaan, sementara itu anggaran daripada projek-projek yang dilaksanakan oleh GLC dan GLIC sekitar RM32 bilion dan RM80 bilion lagi adalah daripada sektor swasta.

“Tahun hadapan akan menyaksikan pembangunan negara yang fokus kepada kepentingan rakyat dalam usaha mempercepatkan pelaksanaan projek.

“Penambahan kemudahan infrastruktur awam seperti jalan, jambatan, lebuh raya sekolah, hospital, perumahan rakyat semuanya menjurus bagi memenuhi keperluan rakyat di seluruh negara, serta membantu keperluan rakyat di kawasan pedalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Kemahiran Kerjaya dan TVET pembinaan anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) di Dewan Jubli Intan di sini pada Ahad.

Ahli Parlimen Pontian menambah, dengan unjuran perbelanjaan yang besar itu, negara memerlukan lebih ramai pekerja dalam sektor pembinaan bagi mengurangkan penggantungan kepada pekerja asing.

Katanya, ianya selaras dengan pelaksanaan program TVET pembinaan oleh Akedemi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Selatan yang memerlukan lebih ramai pelatih bagi memenuhi keperluan industri binaan pada masa depan.

Artikel Berkaitan:

“Untuk rekod sehingga kini, ABM Wilayah Selatan telah berjaya melatih 70,000 ribu pekerja binaan mahir selain melahirkan pemilik syarikat (kontraktor) sekurang-kurangnya kelas G3.

“Pada tahun ini sahaja, ABM Wilayah Selatan telah melatih 808 belia dan 782 personal binaan serta mengakreditasi 3,100 orang pekerja binaan yang mahir dalam bidang masing-masing.

“Harapan kita pada tahun hadapan akan dapat melatih lebih 2,000 belia bagi mengisi keperluan tenaga mahir termasuk di Johor yang sedang rancak melaksanakan kerja-kerja pembangunan di pelbagai sektor,” katanya.

Dalam masa yang sama ABM juga berkolaborasi dengan Johor Petroleum Development Coporation (JPDC ) dan Unit Startegik Modal Insan Johor (USMIJ) dalam melatih belia bagi diserap dalam pekerjaan yang berkaitan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!