Lelaki maut kereta terbalik, jatuh cerun di kawasan perumahan
SEREMBAN - Seorang lelaki maut, manakala seorang wanita warga emas cedera parah selepas kenderaan dinaiki hilang kawalan sebelum terbalik dan jatuh ke cerun bukit di kawasan taman perumahan Taman Nusari Bayu 1, Bandar Seri Sendayan pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kejadian pada jam lebih kurang 9 pagi itu membabitkan sebuah kereta jenis Proton Iriz.
"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu lelaki berumur 36 tahun bersama seorang penumpang wanita berusia 60 tahun dipercayai ibu pemandu itu dari arah Nusari Aman menuju ke Rasah Jaya.
"Apabila tiba di lokasi kejadian, dipercayai pemandu kereta berkenaan telah gagal mengawal kenderaannya lalu masuk ke laluan bertentangan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Ujarnya, susulan itu kenderaan berkenaan telah melanggar pagar besi di bahu jalan cerun bukit yang berketinggian lebih kurang 10 hingga 15 meter sebelum terjatuh dan terbalik ke kawasan taman perumahan Taman Nusari Bayu 1.
"Akibat kemalangan tersebut, pemandu kereta mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi manakala penumpang belakang mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar untuk rawatan lanjut.
"Mayat mangsa kemudiannya telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk urusan bedah siasat," katanya.
Beliau berkata, siasatan kes masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
"Individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin di talian 019-4611794 atau boleh terus ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!